Terjemahan Orang ramai diingatkan mengenai peranan mereka untuk terus menerus mengenakan tekanan terhadap kerajaan bagi memastikan pihak polis tidak mencabul nilai-nilai hak asasi manusia.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, dalam hubungan itu, orang ramai mesti menggesa secara berterusan supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pelakuan buruk polis.

Katanya, kejadian semalam di mana pihak polis menahannya bersama 20 orang lagi yang cuba mengadakan bantahan di Sidang Kemuncak Asean menunjukkan pihak polis tidak mungkin berubah tanpa tekanan orang ramai.

"Penangkapan semalam berlaku di saat di mana kredibiliti pihak polis sedang dipersoalkan tetapi mereka begitu berani meneruskan pelakuan mereka terhadap mereka yang mengadakan demonstrasi secara aman," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, rakyat Malaysia tidak seharusnya membiarkan pihak polis menganggap 'perbincangan mengenai kredibiliti' pasukan itu sekarang sebagai satu 'ketidakselesaan sementara'.

"Jika kita membiarkan diri kita melupakan apa yang telah berlaku, maka pihak polis akan meneruskan pelakuan buruk mereka itu," katanya.

Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah Jasmine Ng, Ginie Lim dan aktivis Fiqtriey al-Hakim, yang ditahan bersama Tian dan 15 rakyat Burma. Kesemua mereka dibebaskan semalam kecuali lima rakyat Burma.

Kekasaran polis

Tian turut mengedarkan gambar seorang anggota polis yang didakwanya telah membelasahnya ketika ditahan di dalam trak polis.

"Anggota polis ini sangat agresif. Dia pukul sehingga saya terjatuh. Dia kemudiannya mencekak rambut saya dari belakang dan cuba menghentak muka saya ke batang besi di trak. Nasib baik dia dihalang beberapa tahanan lain serta anggota polis dalam trak tersebut. Jika tidak, mungkin saya tidak berada di sini hari ini, untuk mencerita kejadian semalam," katanya.

Jasmine, Ginnie dan Fiqtriey turut mengenalpasti anggota polis yang sama yang didakwa bertindak agresif terhadap mereka.

"Dia mencekak saya di leher dan menampar saya. Saya nampak dia bertindak kasar terhadap Jasmine dan Ginnie apabila dia cuba merampas sepanduk dari mereka. Dia juga bertindak kasar terhadap Jasmine sehingga dia terjatuh,," kata Fiqtriey.

Tian berkata, pihak polis tidak menjelaskan sebab-sebab penangkapan semalam.

"Kami masih tidak tahu mengapa kami ditangkap dan sama ada siasatan dijalankan. Malah, pihak polis tidak menyatakan atau berbuat apa-apa sama ada kami akan didakwa. Kami tidak disoalsiasat langsung," katanya.

Katanya, beliau tidak akan membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut kerana tidak yakin pihak polis akan menyiasatnya.

Sebaliknya, beliau akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) minggu lalu.

Tian juga menggesa kerajaan supaya membebaskan rakyat Burma yang masih ditahan oleh pihak polis.

"Kami masih tidak tahu mengapa mereka tidak dibebaskan. Kami mengesyaki mereka mungkin disiasat kerana kesalahan imigresen, tetapi saya percaya ianya mala fide (berniat jahat) kerana mereka ditangkap kerana didakwa menyertai perhimpunan haram," katanya.

Tian berkata, bantahan semalam diadakan untuk menyuarakan kegagalan Asean untuk membincangkan isu-isu mengenai hak asasi manusia di negara anggotanya, terutama di Burma dan Thailand. Berita asal