Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menjelaskan langkah Penerbangan Malaysia (MAS) berbelanja mewah, membeli lukisan pada harga RM1.55 juta adalah untuk menjaga status.

Beliau berkata, pembelian tiga lukisan tersebut untuk menghias pejabat Pengerusi MAS adalah bagi menjaga kedudukan dan status pejabat tersebut.

Bercakap di Dewan Negara semalam, Tengku Azlan berkata, kos membeli lukisan-lukisan berkenaan termasuk dalam perbelanjaan tahun 2005 MAS.

Bagaimanapun wakil Kelab Senator, Dr. Puad Zakarshi yang mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan MAS semalam mendedahkan MAS membeli dua lukisan mahal dari seorang artis Colombia.

Menurut laporan Bernama, isu lukisan berkenaan menjadi tajuk hangat di kalangan ahli Dewan Negara. Selain soal lukisan, para Senator turut mempersoalkan langkah MAS mengambil pegawai asing dengan dibayar gaji yang sangat tinggi.

Penyajian arak

Tengku Azlan menjelaskan, gaji yang diterima oleh Pengurus Besar Kanan MAS, Chris Andrews sebanyak RM7,525 sehari ada perkara biasa.

Katanya, kadar gaji tersebut adalah sama dengan apa yang dibayar oleh syarikat penerbangan lain kepada kakitangan atasannya.

" Jika jawapan ini tidak memuaskan, sila hadiri majlis taklimat mengenai MAS yang diadakan malam ini (semalam)," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2006.

Tengku Azlan juga mengesahkan, bekas pegawai kanan British Airways, Peter Reads telah dilantik sebagai Pengarah Operasi MAS.

Mengenai Pengarah Urusan MAS, Idris Jala pula, beliau berkata, pegawai baru itu memerlukan masa dan autoriti untuk memulihkan semula operasi syarikat penerbangan tersebut.

"Semua masalah yang timbul akan dikaji oleh Pengarah Urusan baru itu. Beliau memerlukan masa untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini," ujarnya lagi.

Tengku Azlan juga menegaskan, sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa, MAS tidak bercadang untuk menghentikan penyajian arak di dalam penerbangannya.

Bagaimanapun katanya, arak hanya diberikan kepada penumpang yang memintanya.