Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini mengajak kerajaan Pusat "berdamai" bagi membolehkan negeri yang di bawah pemerintahan PAS dimajukan dengan projek-projek pembangunan.

"Sudah lama kita berperang, sama-sama rebah, bangun, insaflah. Kerajaan Pusat kena bantu kerajaan negeri, mana boleh tak bantu, kerana ia memberi keuntungan kepada negeri dan pusat", katanya.

Beliau berkata, kerajaan Kelantan memerlukan kerjasama kerajaan pusat bagi menjayakan projek mega di negeri itu terutama cadangan projek pembangunan bersepadu industri marin, minyak, gas, pusat komersial dan kediaman di Tumpat.

Menurut laporan Bernama, projek mega itu merupakan usahasama antara Global City Sdn Bhd dengan kerajaan negeri Kelantan. Majlis menandatangani perjanjian usahasama itu berlangsung di Kota Bharu.

Global City diwakili Pengarah Urusannya Datuk Nordin Salleh manakala kerajaan negeri diwakili Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Yusoff Noh.

Bercakap kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, Nik Aziz berharap kerajaan negeri akan mendapat kerjasama daripada pelbagai peringkat terutama kerajaan pusat kerana projek mega itu memberi manfaat kepada semua pihak.

Projek mega

Menurut beliau, Global City yang mengeluarkan modal besar ini memerlukan restu kerajaan pusat kerana segala hasil pendapatan akan dinikmati bersama kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Beliau berharap syarikat itu akan dapat mempelajari segala kelemahan beberapa buah syarikat sebelum ini yang cuba membangunkan kawasan itu tetapi gagal.

Sementara itu, Nordin berkata syarikat itu akan terbabit dalam projek bernilai lebih RM1 bilion untuk membangunkan kawasan seluas 1,750 hektar yang ditebusguna di kawasan Pantai Seri Tujuh, Tumpat.

Katanya komponen projek itu membabitkan pembinaan pangkalan bekalan dan logistik bersepadu untuk industri minyak dan gas luar pantai seluas 200 hektar dengan projek industri sokongan berkaitan di kawasan 400 hektar.

Projek itu juga menyediakan kawasan pembangunan industri berat dan kejuruteraan bagi industri petrokimia di kawasan seluas 200 hektar selain menyediakan kawasan komersial dan kediaman seluas lebih 200 hektar.

Projek itu juga akan mempunyai pusat pemprosesan makanan halal seluas 80 hektar diikuti pelbagai kemudahan prasarana yang lain seperti taman dan pusat pengurusan sisa buangan di kawasan seluas 200 hektar, katanya.