Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Syed Husin Ali hari ini merasmikan Kongres Angkatan Muda dan Wanita dengan menggariskan 13 masalah dan kelemahan dalam parti itu yang perlu dikenalpasti dan ditangani segera.

Menurutnya, langkah dan tindakan konkrit serta berkesan harus diambil bersama-sama untuk mengatasinya.

"Ini adalah proses yang sulit serta pedih, tetapi perlu dilaksanakan demi memastikan organisasi parti menjadi lebih kukuh," katanya ketika berucap merasmikan kongres tersebut di ibukota hari ini. Hadir sama ialah Ketua Angktan Muda PKR, Ezam Mohd Noor dan Ketua Wanita, Fauziah Salleh.

Katanya, kelemahan dan masalah yang digariskannya menyentuh anggota, pemimpin dan organisasi, walaupun ia hanya terdapat di kalangan kecil sahaja.

"Walaupun begitu ia hendaklah dibendung dan ditangani supaya tidak menjadi 'duri dalam daging' atau menjangkiti sehingga merosak dan menggugat parti seluruhnya," katanya.

13 kelemahan

Menurut Syed Husin, masalah dan kelemahan yang perlu ditangani itu adalah seperti berikut:

- Kurang menjaga waktu, terlalu lewat datang untuk bermesyurat atau kegiatan, kadang-kadang tanpa alasan atau meminta maaf.

Tidak menepati janji, suka berdolak dalik dan kadang-kadang berbohong sehingga boleh menggagalkan sesuatu acara atau rancangan.

- Tidak atau kurang amanah ketika ditugaskan dengan tanggungjawab, setelah dipilih untuk memimpin, terutama yang melibatkan wang.

Memperlihatkan sikap atau perlakuan egoistik, angkuh, pemarah apabila menjadi pemimpin, sehingga menimbulkan kecil hati atau kerenggangan dalam parti.

Membuat kerja secara tidak bersungguh-sungguh dan kurang berdisiplin serta berdedikasi apabila menjalankan tugas serta kewajipan sebagai anggota, apatah lagi pemimpin parti.

Tidak suka menyelesaikan perselisihan melalui perbincangan atau bersemuka, akan tetapi selalu memilih untuk memburuk-buruk, tikam-menikam dari belakang dan jatuh-menjatuh antara satu sama lain, dan terus berdendam walaupun selepas penyelesaian tercapai melalui perbincangan.

Penting kelompok sendiri

Tidak bersifat inklusif tetapi sebaliknya sering suka menggalakkan klik atau kelompok yang dianggap sebulu atau sealiran, dan oleh itu sanggup membiar jawatan kosong tidak diisi berbulan-bulan bahkan bertahun, walaupun ada yang berkebolehan serta berkelayakan.

Tidak mengadakan mesyuarat dan berbincang secara demokratik dengan melibatkan ramai anggota atau semua ahli jawatankuasa untuk merancang dan menjalankan kegiatan, tetapi sebaliknya lebih senang bertindak secara autokratik dengan mengajak hanya kelompok sendiri.

Tidak boleh disentuh atau ditegur, dan walaupun mudah mengkritik bahkan mencela orang lain, namun tidak sanggup menerima kritikan orang lain, apatah mengkritik diri sendiri untuk membaiki keadaan dan mengukuhkan parti.

Tidak kuat hubungan persaudaraan atau ukuwah di kalangan dan di antara pemimpin dengan anggota, kerana tidak banyak pertemuan, perbincangan, kegiatan, perjuangan dan pengorbanan bersama yang boleh menimbulkan persefahaman, silaturrahim dan kekitaan yang kukuh.

Banyak cawangan dan ada bahagian atau negeri tidak mengadakan mesyuarat, apatah lagi menganjurkan aktiviti dalaman parti serta di kalangan rakyat, dan lemah perhubungan dari atas ke bawah dan sebaliknya, kerana organisasi parti kurang tersusun.

Ketiadaan atau kekurangan sumber kewangan atau aktivis parti sepenuh masa yang bergaji untuk memastikan perhubungan rapat serta tersusun di antara semua peringkat dan badan parti dan untuk menjalankan urusan pentadbiran harian serta kegiatan yang telah dibincang dan diputuskan.

Kurang fahaman serta pendirian serupa lagi mendalam terhadap isu semasa kerana kenyataan atau ucapan para pemimpin hampir tiada disalurkan ke bawah dalam parti serta di kalangan rakyat dan kurang penghayatan terhadap dasar perjuangan parti kerana kurang pengkajian dan hampir tiada kursus atau latihan untuk memahaminya.

Menurut Syed Husin lagi, Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) telah mengadakan beberapa temu rapat untuk mengenalpasti semua masalah dan kelemahan parti, dan diikuti pula dengan konvensyen yang membabitkan semua negeri dan bahagian, tetapi hasilnya belum begitu ketara lagi.

Majlis temu rapat

"Tahun ini, berikutan satu lagi temu rapat, sebuah dokumen strategi tindakan yang bertajuk 'Menjana Tenaga Kemenangan" telah diterima. Ia menggaris secara terperinci segala rancangan dan tindakan yang perlu diambil dalam tiga tahun akan datang untuk memperkasakan parti," katanya.

Selepas kongres ini, katanya, beberapa lagi konvensyen dan latihan akan diadakan di peringkat nasional dan negeri untuk membincang dan melaksanakannya.

"Saya harap dokumen ini tidak akan tinggal di atas kertas sahaja. Sangat sesuai sekali bagi Wanita dan Angkatan Muda menghayati dokumen ini dan melaksanakannya demi menyatukan organisasi dan memperkasakan parti," katanya.