Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai dua parti yang kuat supaya rakyat boleh membuat pilihanan dan terbukti menjamin perjalanan demokrasi yang sihat, kata Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Ezam Mohd Noor.

"Dengan adanya dua parti yang kuat, mana-mana parti yang memerintah tidak akan menjadi besar kepala, tamak dan angkuh. Parti yang memerintah sedar bahawa rakyat akan mengadili mereka.

"Mentadbir negara adalah amanah rakyat dan bukannya menjadi hak mutlak mana-mana parti," kata Ezam dalam ucapan dasarnya di Kongres Angkatan Muda PKR di ibukota baru ini.

"Dengan adanya sistem dua parti yang boleh ditukar ganti oleh rakyat jentera kerajaan akan menjadi lebih profesional dan cekap kerana mereka akan benar-benar berkhidmat kepada rakyat dan bukannya kepada pemimpin parti yang memerintah sahaja.

"Polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR), badan kehakiman dan badan-badan penguatkuasa lain dalam kerajaan akan lebih menghormati hak rakyat.

"Tugas badan-badan ini ialah menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira warna kulit, kelas, bangsa dan agama dan mereka tidak boleh diperalatkan untuk menjaga kepentingan parti yang memerintah sahaja," tambahnya.

Barisan Alternatif

Sehubungan itu, katanya, maka tibalah masanya bagi seluruh parti pembangkang untuk merangka kerjasama yang lebih bermakna bagi mewujudkan satu Barisan Alternatif (BA) yang dapat menjadi pilihan kepada rakyat.

"Perjuangan kita bukanlah untuk menghapuskan mana-mana parti politik. Kita tidak berhasrat untuk menghapuskan Umno dan rakan-rakannya.

"Biarlah Umno dan rakan-rakannya hidup sebagai satu parti pilihan dan bukannya sebagai tuan yang menganggap rakyat dan negara ini haknya. Kita semua mempunyai hak dalam negara ini," tambah Ezam.

Bagi menjayakannya, Ezam menegaskan pentingnya pihak pembangkang sama-sama keluar daripada kepompongan perjuangan yang sempit untuk menjalin kerjasama yang mantap agar rakyat benar-benar yakin dengan BA sebagai parti pilihan untuk memerintah negara.

Mengenai tajuk kongres kali ini yang bertajuk 'Membina Reformis Tulen', Ezam menggesa semua perwakilan supaya pemperteguhkan ciri-ciri reformis tulen, dengan melaksanakan tiga asas kekuatan perjuangan reformasi:

"Pertama, keberanian membuat teguran tanpa keberanian ini tidak mungkin kita dapat menyedarkan masyarakat terhadap kerosakan yang sedang dilakukan oleh golongan koruptor dan kroni-kroni.

"Kedua, keyakinan mendepani perjuangan kita jangan berpatah arus, berpaling muka atau berundur ke belakang walaupun risiko yang kita tanggung cukup tinggi.

"Ketiga, kekebalan menghadapi cabaran tiada reformis yang tidak menghadap cabaran dan ancaman yang hebat. Untuk itu, reformis tulen haruslah sentiasa bersedia dan tahan lasak menghadapi cabaran-cabaran tersebut," tambahnya.

Anwar Ibrahim

Dalam masa yang sama, Ezam juga mengingatkan mereka supaya berwaspada dengan pengacau dari dalam yang "tampil berwajah reformis tetapi hati mereka sejenis dengan politikus murahan di luar sana".

"Kita ingin tegaskan di sini, demi perjuangan reformasi yang sebenar, kelompok ini juga akan kita hadapi tanpa kompromi," tambahnya.

Ezam juga mengingatkan anggota angkatan bahawa pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lesen untuk mereka berpeluk tubuh.

"Sebaliknya, inilah peluang kita untuk kembali memartabatkan perjuangan rakyat yang juga menjadi dasar idealisme Datuk Seri Anwar sepanjang perjalanan perjuangannya. Inilah antara contoh tokoh reformis tulen yang perlu kita contohi.

"Bangsa ini sebenarnya harus berterima kasih kepada Anwar kerana dengan pengorbanannya merengkok enam tahun di penjara," tambahnya.