Perlembagaan Angkatan Muda akan dipinda untuk memastikan barisan kepimpinannya terdiri daripada mereka yang berumur 35 tahun ke bawah.

Berikutan itu, Ketuanya, Ezam Mohd Noor mengesahkan, beliau tidak akan mempertahankan jawatannya dalam angkatan tersebut dalam pemilihan parti yang akan datang.

Beliau berkata, keputusannya itu adalah muktamad dan beliau akan menolak sebarang pencalonan untuknya mempertahankan jawatan tersebut.

Pada masa ini, perlembagaan parti itu membenarkan calon yang berumur lebih 40 tahun bertanding jawatan ketua Angkatan Muda.

Menurut Ezam, proses peralihan kepimpinan itu akan memastikan angkatan tersebut dipimpin oleh orang muda.

Kegiatan Gerak

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Ezam berkata, pada hari ini, kebanyakan persatuan orang muda sama ada badan politik ataupun bukan politik ketuai oleh orang tua.

"Ada persatuan belia yang mana pemimpinnya berusia lebih 50 tahun," katanya.

Oleh itu, katanya, Angkatan Muda mahu menjadi pelopor dalam usaha tersebut dan ianya merupakan salah satu satu elemen dalam gerakan reformasi tulen yang mahu dilaksanakannya.

Menurutnya, proses meminda perlembangan tersebut dijangka dibuat dalam persidangan tahun depan.

Beliau bagaimanapun, menolak tanggapan bahawa keputusannya tidak mahu mempertahankan jawatan ketua Angkatan Muda ada kaitan dengan penubuhan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak).

Katanya beliau akan tetap bersama parti dan hanya fokusnya akan lebih banyak diberikan kepada kegiatan Gerak.