Angkatan Muda Keadilan Malaysia tidak akan teragak-agak untuk memboikot pilihanraya sekiranya Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal merombak sistem dan perundangan yang diperuntukkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Pendirian ini dibuat dalam salah satu usul yang diluluskan oleh Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan Malaysia yang berlangsung di ibu negara hari ini yang bertemakan 'Membina Reformis Tulen'.

"Sekiranya kerajaan gagal untuk melakukan pembersihan minimum iaitu menghapuskan sistem undi pos, mencalit dakwat kepada jari pengundi, membersihkan daftar pemilih, maka Angkatan Muda tidak akan teragak-agak untuk memboikot pilihanraya," kata resolusi tersebut.

Kongres tersebut juga mengambil keputusan untuk menolak penubuhan suruhanjaya siasatan mengenai keganasan dan salahlaku polis serta sebarang siasatan yang dijalankan.

"Suruhanjaya dalam prosiding yang dijalankan, didapati gagal atau dengan sengaja tidak mengendahkan keputusan siasatan, cadangan-cadangan dan kes-kes yang pernah berlaku sebelum itu," kata resolusi tersebut.

Resolusi itu mendakwa, penubuhan suruhanjaya tersebut hanyalah untuk melindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan Barisan Nasional.

Isu mempertikaikan ketelusan SPR mengendalikan pilihanraya di negara ini dan isu klip video wanita melakukan ketuk ketampi sambil berbogel di balai polis, menjadi tumpuan utama para perwakilan yang membahas ucapan dasar Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Nor.

Resolusi tersebut diumumkan oleh Naib Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan disokong sebulat suara oleh para perwakilan yang menghadiri kongres pada hari ini.