Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tabung Harapan ditutup 31 Disember
Diterbitkan:  Oct 29, 2018 6:30 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Kerajaan hari ini mengumumkan Tabung Harapan Malaysia (THM) - yang dimulakan pada 30 Mei lalu untuk membantu melunaskan hutang negara - akan ditutup pada 31 Disember ini.

Perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat kabinet, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"THM ditubuhkan untuk menerima dan memperakaunkan wang derma dan sumbangan orang perseorangan dan syarikat bagi membantu kerajaan menangani isi hutang negara.

"Walaupun jumlah yang disumbangkan rakyat hasil titik peluh mereka masih tidak boleh dibanding dengan hutang RM1 trilion yang diwarisi kerajaan, THM akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat untuk melangsaikan hutang negara," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, jumlah terkumpul setakat pukul tiga petang hari ini adalah RM RM196,322,746.30.

Lim berkata Jabatan Audit Negara akan mengaudit penyata terimaan dan bayaran akaun amanah THM - selain turut diaudit firma luar yang akan dilantik kementeriannya - bagi memastikan wang tersebut diurus secara teratur dan teliti.

"THM melibatkan dana rakyat untuk membayar hutang negara ekoran skandal 1MDB, dan kerajaan komited untuk terus telus dengan setiap sen yang diterima," katanya lagi.

Katanya, tanda keikhlasan kerajaan untuk memastikan THM berdasarkan keprihatinan terhadap hutang adalah apabila menolak tawaran sebuah syarikat luar untuk menderma RM100 juta kerana disyaki mempunyai niat tersembunyi.

Walaupun rata-rata menyambut baik inisiatif itu, THM tetap menerima kritikan terutama daripada pembangkang yang menyifatkannya sebagai langkah politik, selain membebankan rakyat untuk menyelesaikan hutang yang sepatutnya ditangani kerajaan.

Jumlah kutipan tabung itu disiarkan di muka depan laman sesawang kementerian kewangan. Jumlah itu dikemaskini pada pukul tiga petang setiap hari.

Lim mengucapkan penghargaan kepada mereka yang sudah menderma, termasuk Yang di-Pertuan Agung Sultan Muhammad V yang menitahkan pemotongan 10 peratus daripada gaji dan emolumen baginda untuk tabung itu pada Jun lalu.

"Kami merafak sembah dan setinggi penghargaan kepada YDPA atas sumbangan baginda...Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penderma yang mendokong pentadbiran kewangan yang bersih dan bebas daripada rasuah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS