Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerajaan tolak derma RM100 juta untuk Tabung Harapan

Kerajaan menolak tawaran sebuah syarikat yang mahu menderma sebanyak RM100 juta kepada Tabung Harapan Malaysia kerana bimbang sumbangan itu mempunyai niat tertentu.

Perkara itu didedahkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjelaskan mengapa Pakatan Harapan (HARAPAN) mahu menggubal undang-undang bagi pembiayaan politik.

"Jelas sekali yang nak beri tu ada hajat yang lain. Itu kepada tabung, kalau kepada parti? Kita akan balik kepada cara lamalah," katanya.

Tabung Harapan ditubuhkan kerajaan Mei lalu bagi membolehkan orang ramai menyumbang kepada usaha untuk mengurangkan hutang kerajaan persekutuan.

Menurut Mahathir mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN hari ini belum dapat memutuskan kaedah pembiayaan politik agar parti-parti politik tidak bergantung kepada mana-mana pihak, sekali gus mengelakkan berlakunya gejala rasuah.

Mahathir berkata, oleh sebab itu kerajaan akan mengkaji pelbagai model yang boleh diguna pakai termasuk dari luar negara.

"Ada juga cadangan kita ikut amalan di negara Jerman di mana kerajaan beri peruntukan kepada parti politik supaya parti politik tak perlu dapat derma dari orang ramai," katanya.

Mahathir berkata, HARAPAN memerlukan maklum balas daripada orang ramai memandangkan gabungan itu masih belum mendapat kata putus mengenainya.

"Kami bincangkannya sepanjang pagi dan kami tidak dapat mencari penyelesaian," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pakatan Harapan hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga enam anggota bomba yang lemas dalam misi menyelamat seorang remaja di sebuah lombong di Puchong baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS