Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

DEWAN RAKYAT | Anggota Parlimen Ipoh Timur yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan Jabatan Audit Negara berkenaan 1MDB telah dipinda.

Beliau membuat dakwaan itu ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (KSP RMK-11) hari ini.

Menurutnya, beberapa agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan pejabat peguam negara "dilumpuhkan" oleh pentadbiran BN terdahulu ekoran skandal 1MDB.

PAC dan Jabatan Audit Negara turut terjejas, katanya lagi.

"Laporan audit (berkenaan 1MDB) diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972. Malah, ada salah guna kuasa apabila laporan audit asal dipinda atas arahan orang tertentu.

"Mujurlah ada pertukaran kerajaan pada 9 Mei. Selepas itu barulah ia boleh dilihat semula," dakwanya.

Sementara itu, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas dakwaan itu.

"Tiada komen dari saya, terima kasih," katanya.

Ketika dihubungi kemudian, Wong enggan mengulas lanjut berhubung kandungan laporan audit yang menurutnya dipinda kerana terikat dengan peraturan mesyuarat.

Bagaimanapun, sumber yang tahu tentang perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa kandungan yang "hilang" itu akan menjejaskan imej pentadbiran lalu.

"Pindaan dibuat sekurang-kurangnya pada dua tahun lalu," kata sumber itu yang enggan dinamakan.

Pada 2014 dan awal 2015, dakwaan tentang masalah dalam 1MDB serta kisah gaya hidup mewah Jho Low kian menjadi perhatian dan mula memenuhi media antarabangsa.

Dakwaan utama yang menghimpit pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, yang kemudiannya disahkan benar, adalah pindahan AS$700 juta daripada 1MDB kepada Good Star Ltd - syarikat yang didaftarkan di kepulauan Seychelles.

Syarikat itu kemudian diketahui dikawal oleh Jho Low.

Menjelang Mac 2015, Najib mengarahkan Jabatan Audit Negara untuk melakukan audit terhadap akaun 1MDB dan memberikannya kepada PAC untuk siasatan lanjut. Beliau berjanji proses itu akan berjalan dengan telus.

Laporan 500 halaman itu siap hampir setahun kemudian, tetapi kerajaan mengambil langkah mengklasifikasikannya sebagai rahsia - hanya untuk PAC sahaja.

Pentadbiran Najib kemudian mendakwa PAC - yang turut dianggotai pembangkang - telah membersihkan namanya daripada sebarang kesalahan, walaupun laporan itu membangkitkan banyak kejanggalan dalam urus niaga 1MDB.

Status rahsia laporan itu akhirnya dibatalkan pada 15 Mei, kira-kira seminggu selepas Pakatan Harapan menang dalam PRU ke-14.

Lihat Komen
ADS