Paling Popular
Terkini

Bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang menafikan laporan audit mengenai 1MDB pada 2016 telah dipinda.

"Tiada ubah apa-apa. Saya tidak tahu apa yang beliau maksudkan," Ambrin mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kar Woh yang mendakwa laporan itu telah dipinda.

Semalam, Wong memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan itu telah 'dipinda' atas arahan individu tertentu yang tidak dinamakannya.

"Laporan audit (mengenai 1MDB) diklasifikasikan sebagai rahsia negara di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Malah, terdapat salah guna kuasa apabila laporan audit yang asal telah dipinda atas arahan orang-orang tertentu.

"Nasib baik berlaku perubahan kerajaan pada 9 Mei. Hanya selepas itu semua hal ini dapat dirujuk semula," jelas Wong (gambar, bawah).

Ambrin berkata beliau mempertahankan laporannya.

"Ya (saya berpegang padanya), ia laporan saya. Saya mengawal sepenuhnya laporan saya itu," kata beliau.

Ambrin kini menjawat Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan.

Ditanya sebab PAC menunda prosidingnya semalam, Ambrin berkata sepatutnya beliau diberikan peluang untuk memberi penjelasan.

"Inilah sebabnya kenapa saya perlu diberi peluang untuk menjelaskan kepada PAC. Tetapi kini PAC telah menangguhkan (siasatan 1MDB), apa lagi yang hendak diulas? Soalnya.

Ambrin bercakap kepada pemberita pada sidang kemuncak antirasuah di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjadi salah seorang ahli panel dalam forum bertajuk “Anti-corruption in internal audits - A crucial element of anti-corruption compliance”.

Pada 2014 dan awal 2015, dakwaan tentang masalah dalam 1MDB serta kisah gaya hidup mewah Jho Low kian menjadi perhatian dan mula memenuhi media antarabangsa.

'Laporan PAC bersihkan Najib'

Menjelang Mac 2015, perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Jabatan Audit Negara untuk melakukan audit terhadap akaun 1MDB dan memberikannya kepada PAC untuk siasatan lanjut. Beliau berjanji proses itu akan berjalan dengan telus.

Laporan 500 halaman itu siap hampir setahun kemudian, tetapi kerajaan mengambil langkah mengklasifikasikannya sebagai rahsia - hanya untuk PAC sahaja.

Pentadbiran Najib kemudian mendakwa PAC - yang turut dianggotai pembangkang - telah membersihkan namanya daripada sebarang kesalahan, walaupun laporan itu membangkitkan banyak kejanggalan dalam urus niaga 1MDB.

Status rahsia laporan itu akhirnya dibatalkan pada 15 Mei, kira-kira seminggu selepas Pakatan Harapan menang dalam PRU ke-14. 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS