Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jika baru-baru ini presiden Umno dan PAS tidak berpeluang duduk sepentas semasa perhimpunan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), peluang kedua dijangka akan muncul kira-kira dua minggu lagi.

Kali ini lokasinya jauh dari PWTC yang terletak di Kuala Lumpur.

Di tanah bersejarah yang menyaksikan terbunuhnya J W W Birch pada 143 tahun 15 hari lalu, Umno sedang mempersiapkan majlis mempertemukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Birch menemui ajal pada 2 Nov 1875.

Dinamakan sebagai Himpunan Perpaduan Ummah, kedua-dua tokoh pembangkang itu - jika tiada aral melintang - akan berceramah bersama pada 17 Nov ini di Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.

Lebih menarik himpunan itu akan berlangsung hasil inisiatif anggota parlimen yang terkenal dengan kegarangannya, Datuk Seri Tajuddin Rahman.

Malah Tajuddin sendiri membuat permohonan mengadakan ceramah tersebut kepada polis daerah Perak Tengah.

Melalui imej yang tular sejak beberapa hari lalu, terpampang nama YB Tuan Guru Dato' Seri Abdul bin Hadi di bahagian penceramah program tersebut.

Sama ada semasa menjadi kerajaan atau pembangkang, Tajuddin memang terkenal lantang bercakap isu Melayu.

Bercakap kepada Malaysiakini Tajuddin berkata program itu diadakan untuk menjadi pemangkit kepada perpaduan umat Melayu-Islam di negara ini.

Jangka ada puluhan ribu orang

Sementelah pula, katanya, kini timbul pelbagai gerakan yang mencabar kedudukan umat Islam dan Melayu Malaysia.

“Umat Melayu dan Islam kena bersatu kerana kita sekarang menghadapi macam-macam gerakan mencabar kedudukan umat Islam.

“Takkan umat Islam nak diam saja?

"Kalau umat Islam hendak mempertahankan bangsa dia, kena bersatulah,” katanya hari ini.

Asalnya Umno dan PAS memang berseteru dengan satu pihak didakwa berjuang atas landasan bangsa, manakala satu parti lagi dituduh mempergunakan agama untuk kepentingan politik.

Bagaimanapun selepas PRU ke-14 berakhir keadaan berubah jauh dengan kedua-dua parti tidak lagi berselindung untuk bekerjasama.

Setakat ini kemuncak kemesraan itu dipaparkan pada dua majlis penting, iaitu muktamar PAS pada pertengahan Sept di Kuala Terengganu, dan perhimpunan agung Umno kira-kira dua minggu kemudian.

Ahmad Zahid mengetuai rombongan Umno ke muktamar tersebut, sebelum PAS melakukan kunjungan rasmi ke PWTC dengan diketuai timbalan presidennnya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Di Pasir Salak sendiri, keintiman hubungan Umno-PAS dipamerkan dengan megah melalui hantaran Facebook Umno Pasir Salak yang menyaksikan dua pemimpin parti itu berpeluk erat seminggu lalu.

Pertemuan Umno dan PAS Pasir Salak beberapa hari lalu

Kata Tajuddin semua orang Melayu dan Islam wajar memberi sokongan kepada himpunan yang dijangkanya dapat menarik kehadiran kira-kira 20,000 orang itu.

“Ini adalah satu platform untuk penyatuan umat Islam tak kira parti, pertubuhan atau ideologi politik. Kena berikan sokongan.

“Kalau dia tu orang Melayu, Islam, sayangkan bangsa dan agama dan mahu mempertahankannya, dia mesti hadir bersama-sama mengambil bahagian dan menjayakan perhimpunan ini,” katanya lagi.

Selain Ahmad Zahid dan Abdul Hadi, Tajuddin berkata ada penceramah lain akan menghangatkan lagi perhimpunan tersebut.

Dua bulan lalu Tajuddin turut menganjurkan himpunan Melayu Bangkit yang berjaya menarik kira-kira 5,000 hadirin berdasarkan anggaran wartawan Malaysiakini

Bagaimanapun katanya, perhimpunan itu lebih kepada himpunan Umno, sedangkan himpunan yang akan datang ini merupakan himpunan semua "Melayu-Islam". 

Lihat Komen
ADS