Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Pakar tulisan jawi berbangsa Korea, Prof Dr Kang Kyoung Seok mencadangkan agar sistem penulisan jawi dipermudah dalam bentuk baru untuk menggalakkan pembelajarannya di kalangan generasi baru.

Menurutnya, sistem ejaan untuk menulis jawi tidak harus meninggalkan ejaan vokal (alif, wau, ya) dalam setiap suku kata seperti dalam sistem ejaan sekarang bagi mengelakkan kekeliruan golongan muda.

Katanya, sistem ejaan jawi perlu dipecahkan kepada dua bahagian; satu sistem untuk membaca manuskrip, dan satu lagi sistem untuk menulis.

“Untuk membaca (manuskrip), harus kita gunakan sistem Za’ba, manakala untuk menulis jawi harus kita gunakan sistem tulisan yang ringkas, dengan menulis setiap huruf vokal seperti mana sebutannya.

“Sekarang, kenapa generasi baru tidak suka dengan tulisan jawi? Kerana sistem ejaannya tidak stabil, cabangnya banyak.

“Kita perlu beri jalan yang paling ringkas untuk mereka, iaitu menulis (ejaan) seperti mana ia didengar,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Perisian pintar pembelajaran jawi

Katanya, kekeliruan ejaan vokal jawi adalah 'masalah kekal' disebabkan kekurangan huruf vokal dalam sistem huruf Arab untuk mengeja sebutan bahasa Melayu yang berasal dari sebutan Sanskrit.

“Tulisan Devanagari (tulisan bagi bahasa sanskrit) mempunyai lima huruf vokal dan sebutan vokal ini telah disimpan oleh orang Melayu dahulu sedangkan huruf Arab hanya mengenal vokal a, i dan u (alif, wau dan ya).

“Kerana itu juga bahasa Melayu mempunyai sebutan (konsonan) pa, ga, nga, ca, dan nya yang tiada dalam ejaan huruf Arab, tetapi terdapat dalam ejaan huruf Devanagari,” katanya lagi.

Beliau yang merupakan profesor pelawat di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang menulis buku tentang evolusi Sanskrit-Melayu-jawi dan juga buku tentang evolusi ejaan-ejaan jawi.

Malah satu perisian animasi telefon pintar sedang dibangunkan bagi memudahkan pembelajaran ejaan jawi dan evolusinya terutamanya di kalangan golongan muda.

Usaha itu dilakukan di bawah seliaan dekan fakulti tersebut, Prof. Dr. Abdullah Mohd Zin.

Masalah visa

Bagaimanapun, beliau bimbang usahanya itu akan berdepan dengan kesulitan kerana beliau perlu pulang ke Korea Selatan pada 9 haribulan ini disebabkan menghadapi masalah mendapatkan visa.

“Saya telah bersara daripada universiti di Korea, jadi bagaimana mungkin saya mendapatkan pengesahan daripada tempat saya bekerja? Jika tiada itu, maka mereka (pihak imigresen) tidak boleh memberikan visa," katanya.

Dr Kang turut menunjukkan surat perakuan pada 2013 yang menyokong agar beliau dilantik sebagai duta Korea Selatan di Malaysia, yang ditandatangani oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu bekas pedana menteri).

Bagaimanapun, surat sokongan yang turut mengandungi tulisan tangan Dr Mahathir itu tidak mendapat perhatian oleh Presiden Korea Selatan (ketika itu) yang kini telah dipecat, Park Geun Hye.

“Sini (Malaysia) ialah tanah air guru-guru saya,” katanya.

Prof Kang merupakan pelajar Korea pertama melanjutkan pelajaran di universiti tempatan pada 1984 dalam peringkat sarjana keduanya di Jabatan Pengajian Melayu (kini Akademi Pengajian Melayu) Universiti Malaya, sebelum melanjutkan pengajian doktor falsafahnya pada tahun 1987.

Subjek pilihan peperiksaan

Tesis sarjananya berjudul "Perkembangan sistem tulisan jawi dalam masyarakat Melayu" merupakan tesis pertama yang ditulis dalam tulisan jawi di negara ini.

Tesis peringkat doktor falsafahnya yang berjudul "Analisis gaya bahasa Melayu dan sistem tulisan Jawi" turut ditulis dalam tulisan jawi.

Beliau juga pernah mengajar tulisan jawi di Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris sejak 2010 hingga 2013.

Bulan lalu bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mencadangkan kerajaan mewajibkan pembelajaran jawi di sekolah sebagai cara menghidupkan semula tulisan itu.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan pula berkata akan mengkaji mata pelajaran jawi sebagai subjek pilihan dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memperkasa tulisan itu sebagai warisan negara.

Lihat Komen
ADS