Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian kaji subjek tulisan jawi bagi PT3, SPM

Kementerian Pendidikan mahu meningkatkan aspek kualiti dalam pembelajaran dan pengajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara berbanding menjadikan ranking institusi berkenaan sebagai matlamat utama.

Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata kerajaan Pakatan Harapan ingin melihat kualiti para pensyarah, graduan, kurikulum dan kecekapan mengurus kos dalam ekosistem yang lebih mapan, dan kementerian Pendidikan berpendirian bahawa ranking adalah penting tetapi bukan menjadi matlamat utama sesebuah IPT.

“Sebaliknya aspek yang sedang mendapat perhatian serius kementerian adalah untuk meningkatkan kualiti berteraskan nilai dan kemanusiaan melalui elemen kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Teh Kok Lim (PH-Taiping) yang ingin tahu mengenai usaha-usaha yang diambil untuk membaiki kedudukan universiti-universiti tempatan utama di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun menurutnya kementerian akan terus berusaha memperkukuh kedudukan Universiti Awam di peringkat antarabangsa dengan memperbanyakkan program 'partnership’ dan kolaborasi bersama institusi terkemuka dunia melalui skim padanan geran penyelidikan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya terus memperkasa usaha promosi bagi meningkatkan kemasukan pelajar antarabangsa antara kerajaan (G to G), rundingan secara berterusan dengan pihak kerajaan dan universiti di luar negara serta kerjasama antara KPM dengan kedutaan di negara lain bagi memudahkan urusan kemasukan pelajar antarabangsa.

Setakat 30 Jun lalu seramai 173,768 pelajar antarabangsa berada di Malaysia.

Sementara itu, Teo berkata KPM akan mengkaji pelaksanaan penawaran mata pelajaran jawi sebagai subjek pilihan dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memperkasa tulisan itu sebagai warisan negara.

Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai sama ada KPM bercadang memasukkan mata pelajaran jawi sebagai subjek pilihan di kedua-dua peperiksaan awam itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS