Setahun yang lalu Tsunami memusnahkan kehidupan sebahagian besar nelayan di Kota Kuala Muda, Kedah namun laut tetap dan terus menjadi nadi kehidupan mereka sehingga kini.

Ombak besar mengancam dan meragut harta benda dan nyawa tetapi pada laut juga hampir 1,000 penduduk pinggir pantai ini meletakkan harapan masa depan mereka.

Kehidupan penduduk Kota Kuala Muda tidak banyak berubah. Rutin mereka masih seperti dulu, keluar ke laut untuk menangkap ikan seawal jam enam pagi dan pulang waktu Zohor.

Mereka turut dengan bekalan yang disediakan oleh anak isteri di samping peralatan menangkap ikan yang serba kekurangan. Malah bot bukan lagi milik sendiri tetapi terpaksa disewa.

Ramai yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, namun tiada tanda putus asa di wajah mereka.

Menjelang jam 1 tengah hari peraih menunggu untuk membeli hasil tangkapan mereka untuk dijual di tempat lain. Ikan akan diangkut dan ditempatkan di `pasar bisik'.

Di pasar bisik ini kerja "memasarkan"nya biasanya dilakukan oleh kanak-kanak. Ke mana tidak tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Begitulah anak-anak yang masih bersekolah terpaksa turut membantu mencari sesuap rezeki.

"Pendapatan tidak menentu tetapi biasanya dalam lingkungan RM10 dan kami membelanjakannya untuk perbelanjaan harian.

Lebih-lebih lagi sekolah akan dibuka tidak lama lagi, nak beli pakaian dan peralatan sekolah," kata Asmawi Nor Abidin, 15, (foto kiri) salah seorang daripada kanak-kanak yang menjalankan kerja " bisik-bisik" di jeti nelayan Kota Kuala Muda.

Melalui kaedah "bisik-bisik" ini nelayan akan tahu harga yang diberi oleh peraih kepada hasil tangkapan mereka. Tangkapan akan dijual kepada peraih yang membisikkan harga tertinggi.

Rakan Asmawi, Rafie Zulkifli, 15, pula memberitahu, sebagai kanak-kanak yang membesar di perkampungan nelayan mereka tidak dapat lari daripada terbabit secara langsung dengan aktiviti di laut.

Bantuan bot

"Bukanlah bermakna saya juga mahu menjadi nelayan tetapi di sinilah dunia saya.Daripada tidak membuat sekarang kerja, lebih baik saya mengangkut ikan sekurang-kurang dapat meringankan beban keluarga," katanya yang ditemui di Kota Kuala Muda baru-baru ini.

Nasib mangsa-mangsa Tsunami Kota Kuala Muda ini walaupun terbela namun masih ramai yang ternanti-nanti bantuan yang dijanjikan kerajaan.

Masih ada nelayan yang mengadu kerana mereka belum mendapat bot baru yang dijanjikan walaupun sudah setahun bencana Tsunami berlaku. Mereka mendakwa telah mengisi pelbagai borang tetapi terus seperti menunggu buah yang tidak gugur.

Ini menyebabkan ada nelayan yang dulunya memiliki bot sendiri terpaksa menumpang atau menyewa bot orang lain untuk ke laut. Akibatnya pendapatan harian mereka terjejas kerana terpaksa berkongsi hasil tangkapan dengan nelayan lain.

Nasib malang para nelayan ini bagaimanapun tidak terbiar begitu sahaja. Selain kerajaan dan agensi-agensi sukarela tempatan, kebajikan mereka turut mendapat perhatian pertubuhan antarabangsa seperti Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP).

UNDP adalah antara pihak yang paling cepat memberi bantuan bot kepada nelayan terbabit. Kesungguhan para pegawai agensi itu membantu nelayan tempatan menyebabkan mereka dianggap sebagai `wakil rakyat' nelayan.

Pengarah Urusan UNDP bagi Singapura, Malaysia dan Brunei, Richard Leete adalah orang yang berusaha keras untuk membantu nelayan terbabit mendapatkan bantuan bot dengan segera tanpa sebarang birokrasi.

Beliau sendiri turun ke laut menangkap ikan dengan nelayan untuk merasai pahit maung kehidupan sebagai nelayan.

Wakil rakyat

Kesungguhan beliau untuk merasai perit jerih kehidupan nelayan menyentuh hati penduduk Kota Kuala Muda.

"Jika orang putih yang tiada kena mengena dengan nelayan boleh turun ke laut mengapakah tidak ada wakil rakyat kita yang berbuat demikian," soal Azhar Ahmad.

" Apakah tugas ini perlu diserahkan kepada orang luar.

Ke mana perginya wakil rakyat dan pegawai kerajaan? Ke mana dana bantuan berpuluh juta ringgit itu? Untuk siapa wang yang sebegitu banyak?," tanya beliau lagi.

Azhar amat mengkagumi sumbangan warga Britain itu kerana sikapnya yang begitu mengambil berat masalah kehidupan nelayan setempat.

Adakah ini memberi gambaran bahawa karenah birokrasi masih berlaku walaupun ketika bencana? Tidakkah sikap lapuk ini menyusahkan mangsa dan perlu dikikis segera.

Seorang lagi mangsa Tsunami, Abu Bakar Awang pula menyatakan kesyukurannya kerana kehidupan mereka kini hampir pulih.

Beliau kini menetap di rumah transit yang disediakan oleh kerajaan sementara menunggu rumah kekal yanag sedang dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Mangsa Tsunami di situ tidak dikenakan bayaran sesenpun untuk tinggal rumah panjang itu dan mereka dijangka tinggal di situ selama dua tahun.

Syarikat tersebut sedang membina 120 unit rumah batu tidak jauh dari situ. Empat puluh unit sudah siap dan akan diduduki tidak lama lagi. Bakinya akan disiapkan dalam tempoh setahun.

Abu Bakar yang tidak mengenal erti putus asa berkata, kehidupan mesti diteruskan demi anak-anaknya.

"Ia mengambil masa yang lama untuk melupakan peristiwa Tsunami tetapi biarlah ia menjadi sejarah kepada kami, hidup perlu diteruskan," ujarnya.

Namun di dalam segala kesempitan dan kesukaran mereka itu, para nelayan ini masih kaya dengan budi bahasa.

Mereka tetap tahu membalas budi. Inilah yang mereka lakukan kepada delegasi dan media yang menyertai program UNDP baru-baru ini.

Mereka bergotong royong mengadakan jamuan secara besar-besaran untuk meraikan sumbangan bot dari agensi PBB itu. Kemesraan dan keikhlasan antara mereka dengan orang luar masih menyerlah.

Sesungguhnya Tsunami tidak mampu menenggelamkan ketinggian budi bahasa orang Melayu.