Mykad: Bayaran yang dikenakan kurang daripada RM50
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid berkata, bayaran yang akan dikenakan bagi membuat MyKad tahun depan adalah kurang daripada RM50.00.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid berkata, bayaran yang akan dikenakan bagi membuat MyKad tahun depan adalah kurang daripada RM50.00.
Beliau juga menjelaskan bahawa istilah "denda" yang dilaporkan oleh sesetengah media bagi mereka yang tidak menukar kad pengenalan lama kepada MyKad selepas 31 Disember ini adalah tidak betul.
"Yang dikenakan ialah bayaran permohonan penukaran yang jumlahnya akan diumumkan kelak," katanya.
Sehubungan itu Azmi menyatakan adalah tidak wajar bagi pemohon MyKad membayar RM50 semata-mata untuk mendapatkan nombor giliran kerana bayaran permohonan yang akan dikenakan selepas 31 Disember nanti adalah lebih rendah daripada kadar itu.
Menuruut laporan Bernama, beliau berkata berdasarkan laporan media didapati pada saat-saat akhir ini, ada pemohon MyKad sanggup membayar RM50 untuk mendapatkan nombor giliran awal di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Saya ingin menasihatkan mereka supaya tidak terburu-buru. Kenapa mesti membayar sehingga RM50 untuk mendapatkan nombor giliran sedangkan jumlah bayaran permohonan penukaran kepada MyKad nanti adalah lebih rendah daripada RM50," katanya dalam satu kenyataan.
Azmi juga berkata kad pengenalan lama masih sah digunakan sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Azmi menasihatkan orang ramai cuba mengelak kesesakan di kaunter JPN di sekitar ibu kota berikutan semakin ramai orang berpusu-pusu pergi ke kaunter JPN pada saat-saat akhir ini.
Katanya terdapat lebih 100 kaunter yang tidak sesak di seluruh negara.
"Pergilah ke JPN di luar Lembah Kelang kerana tidak berlaku kesesakan di sana. Sebagai contoh, mereka yang berada di Lembah Klang boleh pergi ke JPN di Sabak Bernam, Sepang, Kuala Kubu Bharu atau pun Seremban dan sebagainya," ujarnya.

