Pengerusi Suruhajaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Rashid Abdul Rahman, menyifatkan langkah kerajaan menggunakan media awam khasnya RTM berkempen untuk Barisan Nasional (BN) secara terang-terangan dalam pilihan raya menyalahi etika.

"Jika kempen ini dibuat di stesyen televisyen swasta maka itu hak mereka, kita tidak boleh mempertikaikan hak mereka tetapi malangnya apabila kempen ini menggunakan hak awam yang menjadi hak milik seluruh rakyat maka ianya adalah sesuatu yang tidak sihat serta menyalahi hak kepentingan awam," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Syarahan Umum bertajuk 'Demokrasi dan Pilihanraya Di Malaysia' di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, dekat Johor Bharu baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, sekiranya saluran televisyan awam ini digunakan untuk menonjolkan pembangunan yang dibuat kerajaan tidak mengapa tetapi apabila ianya menjurus kepada kempen pilihanraya maka itu tidak betul.

(Semasa kempen pilihan raya Pengkalan Pasir misalnya, RTM telah digunakan sepenuhnya untuk memukul kerajaan negeri Kelantan dan PAS).

Menurut laporan Harakahdaily.Net, Rashid juga mengakui dengan kuasa, wang yang banyak membolehkan BN terus dapat mengekalkan kuasa sehingga hari ini.

Rasuah pilihanraya

Selain wang dan kuasa BN juga mempunyai sumber tenaga manusia yang mencukupi bagi menghadapi lawan politik mereka dalam setiap kali Pilihanraya diadakan, katanya.

"SPR sendiri sebenarnya tidak bersetuju media milik awam ini digunakan secara tidak adil dan kita seringkali menyuarakan perlanggaran etika ini tetapi nampaknya dari setahun ke setahun tiada perubahan dibuat sebaliknya media awam ini terus digunakan untuk kepentingan politik BN," kata beliau.

Bagi beliau, apa yang berlaku ini seumpama pertandingan yang diadakan di padang yang tidak rata, jika amalan ini berterusan maka bukan saja pembangkang sukar untuk menang malah amalan demokrasi juga tercabar.

Selanjutnya beliau turut mengakui bahawa penipuan memang berlaku dalam pilihanraya namun ianya amat sukar untuk dikesan atau dibuktikan berikutan ketiadaan pihak terbabit tampil membuat pengakuan kepada SPR.

"Sepanjang tempuh lebih 20 tahun bersama SPR, belum ada pihak-pihak yang terbabit dalam kes penipuan dalam pilihanraya ini tampil membuat pengakuan, sama ada pihak yang menerima rasuah lebih-lebih lagi yang memberi jadi bagaimana SPR hendak bertindak.

"Amalan rasuah adalah profesion tertua di dunia dan ianya tak boleh dihapuskan sama sekali, jika ada pihak mengatakan rasuah dapat dihapuskan sekiranya parti lain memerintah negara ini maka ianya adalah satu pembohongan besar," tegas beliau.