Fong: Tindakan tegas terhadap kontraktor cuai
Syarikat atau kontraktor akan menghadapi tindakan undang-undang secara automatik apabila mereka telah diberikan tiga notis henti kerja kerana gagal mematuhi langkah keselamatan di tapak pembinaan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn.
Syarikat atau kontraktor akan menghadapi tindakan undang-undang secara automatik apabila mereka telah diberikan tiga notis henti kerja kerana gagal mematuhi langkah keselamatan di tapak pembinaan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn.
Ini adalah salah satu tindakan segera yang akan dikuatkuasakan untuk mencegah kemalangan di tapak pembinaan terutamanya di lokasi yang sesak di mana keselamatan awam tidak mencukupi.
Beliau berkata ini adalah beberapa langkah yang dipersetujui setelah beliau mengadakan perbincangan dengan pegawai Jabatan Pekerjaan, Keselamatan dan Kesihatan (DOSH) berdasarkan pada hasil penyiasatan kemalangan di tapak pembinaan.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat pasca kabinet di Putrajaya semalam, beliau berkata langkah itu diadakan berikutan kematian Konsultan Pengurusan di Kuala Lumpur Jumaat lalu.
Dr Liew Boon-Horng, 35, mati apabila acuan besi jatuh dari tingkat 20 sebuah bangunan yang sedang dibina, di atas kereta yang dinaiki mendiang semasa melalui tapak pembinaan itu di Sri Hartamas. Isteri mendiang Joanne Loy Ai Lan dan pemandunya Ahmad Harun Jajuli cedera semasa kemalangan itu.
Menurut laporan Bernama, Fong juga memberitahu, berdasarkan cadangan Jabatan Peguam Negara, sebuah Unit Kejuruteraan Forensik akan ditubuhkan di DOSH untuk menyediakan perkhidmatan pakar dalam bidang penyiasatan dan pendakwaan.
Ini untuk membolehkan pakar itu menentukan punca sebarang kemalangan dan bagi mengemukakan keterangan di mahkamah semasa pendakwaan.
Beliau berkata kepakaran pasukan itu akan meliputi aspek kejuruteraan forensik yang melibatkan analisis bahan binaan seperti logam, siku, penyambung dan konkrit dan menentukan sama ada peralatan itu dikendalikan dengan betul.
Menurutnya semua tapak pembinaan di pusat bandar raya di mana keselamatan awam boleh terjejas akan diarahkan segera menjalankan pengenalpastian bahaya, penilaian bahaya dan pengawalan bahaya.
Peraturan baru
"Ini melibatkan menjaga rekod yang betul. Ini juga melibatkan keperluan semua pekerja, yang pertama di sebelah pagi, untuk mengenalpasti semua potensi kesulitan, catatkan, difail dengan betul dan kita juga memerlukannya sebelum dan selepas bekerja bagi memastikan tempat kerja sentiasa bersih supaya orang ramai yang datang ke tempat itu pagi esoknya tidak akan terdedah kepada sebarang bahaya," kata beliau.
Fong juga berkata dalam jangka pertengahan, beliau akan mengeluarkan satu peraturan baru di bawah Akta Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan 1994 bagi mewajibkan tapak pembinaan yang beroperasi di kawasan sesak yang mengancam keselamatan awam melaksanakan Sistem Pengurusan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (OSH-MS) berdasarkan kepada standard Malaysia, MS1722:2003.
Peraturan ini akan dikeluarkan dalam masa sebulan dan hendaklah dilaksanakan oleh kontraktor dalam tempoh enam bulan, katanya.
"Memanglah, sebagai langkah jangka pertengahan, kita akan mengkaji untuk meminda pelbagai peruntukan (berkaitan) undang-undang bagi membolehkan mereka supaya lebih berkesan dalam aspek keselamatan dan kesihatan," kata beliau.
Salah satu perkaranya ialah kementerian itu mengkaji kesesuaian Akta Kilang dan Jentera untuk meliputi keadaan di tempat kerja sekarang dan juga bagi menilai sama ada Akta Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan mencukupi untuk keperluan DOSH, kata beliau.
Fong berkata beliau mahu pegawai kementerian itu, terutamanya pegawai DOSH bertegas dalam melaksanakan langkah-langkah itu di tapak pembinaan.
Beliau juga berkata pegawai kementerian itu sedang menyiasat projek pembinaan bangunan tinggi, bukan hanya di Kuala Lumpur dan Selangor tetapi juga di Pulau Pinang, Melaka dan Johor Baharu berdasarkan kepada rekod sebelum ini dalam menjaga keselamatan di tapak berkenaan.

