Terjemahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara pemimpin Umno dan pekerja parti yang didakwa dalam petisyen yang difailkan oleh seorang penyokong PAS semalam telah membeli undi sewaktu pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.

Dakwaan terhadap Najib itu, yang juga Timbalan Presiden Umno, dibuat oleh Setiausaha Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ridza Zain, dalam petisyen yang difailkannya bagi pihak PAS yang calonnya Hanifa Ahmad, kalah kepada calon Umno, Hanafi Mamat dalam pilihanraya kecil itu pada 6 Disember lalu.

Beliau mendakwa, Najib telah menyogok wang kepada pengundi dalam salah satu lawatan rasminya ke kawasan pilihanraya berkenaan dan juga cuba menyongok pengundi dengan janji-janji pembangunan sekiranya Barisan Nasional memenangi pilihanraya kecil tersebut.

Katanya, Najib serta rombongannya telah berkunjung ke rumah (pengundi) Zulkifli Mamat di Kampung Pauh dan memberinya RM500 sebelum memesan kepadanya supaya mengundi dacing (logo BN di mana Umno merupakan parti komponen terbesar).

Di samping itu, dakwa Mohd Ridza, Najib yang juga seorang menteri, telah memberi amaran kepada anggota tentera supaya jangan mengundi PAS.

Sebahagian besar anggota tentera mengundi melalui undi pos di kem masing-masing. Mengikut perjumlahan akhir, majoriti besar undi mereka adalah untuk Umno, dan tanpa undi pos itu, PAS boleh menang dengan majoriti tipis.

Mohd Ridza juga mendakwa, Najib telah melanggar Seksyen 10(c) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 apabila beliau berjanji untuk membina pasar basah baru sekiranya BN menang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sewaktu satu ceramah pada 2 Disember 2005 empat hari sebelum hari penamaan calon.

Seorang lagi pemimpin tinggi Umno yang turut disebut dalam petisyen tersebut ialah Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein Onn. Responden lain ialah calon BN yang menang Hanafi Mamat, pegawai pilihanraya Abdul Halim Ahmad dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Mohd Ridza mendakwa, Ketua Pemuda Umno itu, yang juga Menteri Pelajaran, telah memberi amaran kepada semua guru supaya jangan menyokong calon PAS.

Pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada 6 Disember lalu dimenangi oleh calon BN, Hanafi yang menewaskan Hanifa dengan majoriti tipis 134 undi. Kiraan semula diadakan keesokannya dan calon BN diisytiharkan secara rasmi sebagai pemenang.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober lalu. Allahyarham menewaskan Hanafi dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 56 undi.

Berikutan kekalahan calon PAS itu, parti berkenaan yang memerintah Kelantan sejak 1990, kini hanya mempunyai 23 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih satu kerusi daripada BN (22).

Petisyen tersebut difailkan, antara lain, untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa keputusan pilihanraya kecil 6 Disember itu adalah 'tidak sah dan terbatal'.

Pengundi hantu

Mohd Ridza juga mengemukakan bukti-bukti terperinci untuk menyokong dakwaan parti tersebut tentang wujudnya pengundi hantu atau menyamar sebagai pengundi, yang membabitkan lima pengundi dalam pilihanraya kecil itu. Antara dakwaan lain ialah:

Rekod menunjukkan seorang pemilih berdaftar Fatimah Mahmood mengundi di SK Sultan Ibrahim sedang dia sebenarnya tidak hadir kerana berada di rumah anaknya di Grik, Perak.

Manakala seorang lagi pemilih berdaftar, Yusof Harun, tidak dibenarkan mengundi ketika hendak mengundi di SK Tanjung Chenak pada jam 1 tengahari, kerana namanya telah ditanda sudah mengundi.

Mohd Ridza juga mendakwa, BN telah mengadakan jamuan untuk sekumpulan besar pengundi di SRJK (Cina) Yuk Eng di Pasir Mas dengan niat untuk mempengaruhi mereka supaya menyokong calonnya.

Beliau juga mendakwa, Hanafi dan pekerja partinya, telah melancarkan beberapa serangan peribadi terhadap calon PAS dan parti Islam tersebut, sambil mendakwa, kesalahan tersebut dilakukan melalui risalah, poster dan ceramah sepanjang 10 hari tempoh berkempen.

Bagi menyokong petisyen terhadap Abdul Halim (responden kedua), Mohd Ridza mendakwa pegawai pilihanraya itu telah menghalang pemilih tua Marian Abdul Ghani, Esah Mamat dan Fatimah Daud daripada beratur untuk mengundi di SK Datuk Abdul Hamid dengan dibantu oleh anak-anak mereka.

Kejadian itu didakwa berlaku walaupun ketiga-tiga pemilih tersebut telah mengisi borang yang diperlukan seperti dikehendaki mengikut peraturan pilihanraya.

Petisyen tersebut akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi dan pihak mahkamah mempunyai masa selama enam bulan untuk memutuskan kes tersebut.

Jika petisyen itu ditolak, maka rayuan boleh dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dibuat.

Mahkamah Persekutuan yang mempunyai tempoh enam bulan untuk memutuskan rayuan tersebut, adalah merupakan badan kehakiman tertinggi untuk mendengar kes tersebut. Berita asal