Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti Kelantan gesa himpunan anti-Icerd tak diteruskan
Diterbitkan:  Nov 29, 2018 8:51 PM
Dikemaskini: 2:26 PM

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad menggesa himpunan kesyukuran terhadap penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang dijadual 8 Disember ini tidak perlu diteruskan, memandangkan keadaan semasa yang agak tegang.

Beliau berkata penerusan himpunan itu hanya mengundang "hal yang tidak baik", selain kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan.

Walau tidak merujuk secara khusus, beliau dipercayai merujuk isu Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya yang bermula Isnin lalu.

"Dalam Islam sendiri jika kita mahu melakukan sesuatu yang perlu pertimbangkan soal baik dan buruknya.

"Jika perkara yang ingin dilakukan itu lebih banyak keburukan (menimbulkan masalah) berbanding kebaikan, mengapa ingin diteruskan (perhimpunan Icerd)," katanya seperti dipetik NST.

Mohamad Shukri

Katanya lagi, rasa kesyukuran atas keputusan kerajaan tidak meratifikasi konvensyen PBB itu boleh diluahkan dengan cara lain, seperti sembahyang hajat dan kesyukuran di masjid.

Himpunan itu atas kerjasama Umno dan PAS dan pada mulanya bermatlamat membantah hasrat kerajaan meratifikasinya.

Ia ditukar kepada 'himpunan kesyukuran' susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan hasrat itu.

'Tiada kaitan' 

Namun Gerakan Pembela Ummah (Ummah) berkata himpunan tiada kaitan dengan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dan menegaskan ia akan diteruskan.

Aminuddin Yahya

"Kami tolak sekeras-kerasnya dakwaan himpunan ini ada kena-mengena dengan isu kuil. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin sudah nyatakan ia bukan isu perkauman.

"Jadi jangan takut dengan dakwaan himpunan ini akan menimbulkan keresahan orang awam," kata Ketua Sekretariat Ummah Aminuddin Yahya dalam kenyataan.

Beliau juga memberi amaran agar tiada pihak yang cuba menimbulkan kekecohan ketika himpunan itu nanti.

Lihat Komen
ADS