Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) berpendapat tidak ada isu berbangkit walaupun salah seorang pemimpin NGO yang menyertai himpunan bulan depan mengaitkannya dengan kejadian di Jakarta pada 2016.

Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya berkata kenyataan tokoh terbabit semasa memberikan taklimat mengenai himpunan berkenaan sekadar menyatakan bagaimana umat Islam perlu bersatu membantah cadangan menerima Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

"Dia (wakil NGO) kata bagaimana (cara-cara) orang Islam boleh bersatu. Jadi dia ambil dalam konteks penyatuan saja. Bukan dalam konteks lain.

"Dalam isu agama ni, kita kena bersatu. Saya tak nampak apa-apa salah. Bukan kita nak jadi macam (perhimpunan di Jakarta) tu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu satu klip video selama kira-kira tiga minit beredar di media sosial. Melalui rakaman itu kelihatan seorang lelaki berbaju gelap dan bersongkok memberikan penerangan di depan sekumpulan orang.

Menurut lelaki terbabit kerajaan sekarang tidak lagi dapat memelihara hak orang Islam dan Melayu di negara ini.

Mungkin ada pengalaman

Katanya lagi, kaum lain sudah menguasai pentadbiran kuasa politik dan orang Melayu sudah lewat bertindak sekiranya lewat bangkit.

"Mereka cukup bimbang kerana kalau kebangkitan yang kita buktikan pada 8 Dis ini boleh jadi seperti (himpunan) 212 di Indonesia menggoyangkan Ahok maka di situlah sebenarnya segala isu-isu mereka ini akan tenggelam ke bawah dan kita akan mula melonjak naik semula," katanya.

Tangkap layar ucapan wakil NGO mengenai himpunan bulan depan

Untuk rekod Himpunan 212 merujuk kepada protes besar-besaran kumpulan konservatif Islam Indonesia pada 2 Dis 2016, diketuai Rizieq Shihab yang mengetuai Front Pembela Islam (FPI).

Ia diadakan di tengah Jakarta bagi mendesak supaya gabenor Jakarta ketika itu, Basuki Tjahaja Purnama - atau lebih dikenali sebagai Ahok - dikenakan tindakan undang-undang atas tuduhan menghina Islam.

Untuk rekod Rizieq kini menjadi orang yang dikehendaki polis Indonesia atas dakwaan terbabit dalam sembang lucah dengan seorang janda.

Beliau meninggalkan Indonesia sebelum polis negara itu menahannya.


Baca Mufti Kelantan gesa himpunan anti-Icerd tak diteruskan


Himpunan membantah Icerd itu - yang kini didakwa penganjur bertukar menjadi majlis kesyukuran - disertai penyokong PAS dan Umno, selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Aminuddin berkata, kenyataan wakil NGO di sesi taklimat berkenaan tidak mencerminkan hasrat Ummah dalam perhimpunan tersebut.

Dia juga berkata penganjur tidak bercadang untuk mengambil tindakan atas kenyataan mengaitkan himpunan mereka dengan Himpunan 212 itu memandangkan ia dibuat atas kapasiti individu.

Malah kata Aminuddin kenyataan itu mungkin dibuat berdasarkan pengalaman penuturnya.

"Macam mana kita nak ambil tindakan? Itu hak dialah.

"Macam you nak cakap... sesiapa nak cakap. Kita tak boleh nak ambil tindakan pada semua orang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS