BERITA Malaysiakini

Laporan: DOJ akan rampas RM300 juta dalam akaun Jho Low

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dilaporkan dalam usaha merampas lebih RM300 juta (AS$73 juta) yang menurut mereka diselewengkan ahli perniagaan Low Taek Jho daripada 1MDB.

Menurut Astro Awani yang memetik saman sivil DOJ di Mahkamah Daerah Columbia (DC), wang tersebut disimpan dalam empat akaun yang berkaitan secara langsung dengan Jho Low.

Akaun tersebut adalah di Morgan Stanley menggunakan nama Anicorn LLC (RM155 juta), di Wells Fargo menggunakan nama Artemus Group LLC (RM88 juta), dan dua akaun di Citibank menggunakan mana Higginbotham (masing-masing menyimpan RM105 juta dan RM46 juta).

Menurut laporan itu lagi, pengumuman rampasan dibuat Penolong Peguam Negara Amerika Brian A Benczkowski daripada DOJ, Penolong Pengarah Penjaga William Sweeney Jr daripada FBI, dan Agen Khas yang Bertugas Keith Bonanno dari Pejabat Penyiasatan Siber.

Jho Low yang kini menyembunyikan diri didakwa mengubah wang haram berkaitan 1MDB melalui sistem kewangan negara itu.

Pada 1 November lalu, dia dihadapkan pertuduhan berkonspirasi melakukan pengubahan wang haram dengan jumlah berbilion dolar daripada 1MDB dan berkomplot melanggar Akta amalan rasuah Asing (FCPA) Amerika.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner yang turut didakwa telah mengaku bersalah.

Menurut laporan itu lagi, aduan menyatakan kebanyakan akaun tersebut dibuka untuk menerima puluhan juta dolar dari akaun luar negara yang dikendalikan Jho Low.

Ia dilakukan oleh penyanyi rap Michel Prakazrel, atau Pras, dan bekas pegawai DOJ George Higginbotham pada 2017.

Prakazrel dan Higginbotham didakwa membuat kenyataan palsu dan mengelirukan kepada institusi kewangan negara itu, terutama dalam soal sumber dana, kata laporan itu lagi.

Menurut laporan itu lagi, wang dalam akaun itu digunakan untuk mempengaruhi penyiasatan DOJ terhadap Jho Low.

"Michel dan Higginbotham menipu institusi kewangan Amerika Syarikat dan mencairkan jutaan dolar ke Amerika Syarikat sebagai bagian dari upaya untuk tidak mempengaruhi penyisihan jabatan ke dalam penyelewengan dan skema penyuapan besar-besaran yang melibatkan 1MDB.

"Divisyen Jenayah dan rakan penguatkuasaan undang-undang kami akan melakukan segala yang kami dapat untuk mengesan, merampas, dan kehilangan hasil rasuah asing yang mengalir melalui sistem kewangan AS," kata Benczkowski seperti dipetik.