Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Timbalan Menteri Pertahanan hari ini menafikan kenyataan dibuat Hishammuddin Hussein bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelulusan kepada Angkatan Tentera Malaysia menjalankan misi Yaman 2.

Hal itu kerana, kata Liew Chin Tong, semakan dibuat menunjukkan operasi itu tidak mendapat kebenaran bertulis sama daripada MKN atau kabinet.

Lebih mengecewakan kata Liew, Hishammuddin tidak hadir di parlimen hari ini untuk memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.

"Saya kecewa mantan menteri pertahanan tidak hadir pada hari ini.

"Walaupun dia kata MKN pernah buat keputusan, tetapi selepas semakan (dibuat), MKN tidak pernah menghasilkan originating directive (arahan pemula)," katanya semasa menggulung perbahasan belanjawan Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat.

Terdahulu pada 3 Dis lalu Liew mendedahkan kabinet tidak dimaklumkan mengenai pembabitan Malaysia dalam operasi ketenteraan bersama Arab Saudi ke atas Yaman.

Kata Liew di Dewan Rakyat, Malaysia menugaskan 42 pegawai tentera ke Riyadh, Arab Saudi pada April 2015 untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman.

Ajak bincang bersama

Operasi berkenaan dikenali sebagai Ops Yaman 1.

Bagaimanapun, pada Jun 2015, ia ditukar menjadi misi logistik yang dikenali sebagai Ops Yaman 2 dengan pembabitan 94 pegawai tentera.

Ketika itu, kata Liew, kabinet tidak dimaklumkan.

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar semasa mengemukakan soalan tambahan mengesahkan Ops Yaman 2 tidak dibangkitkan di dalam kabinet. 

Ketika itu Hishammuddin ialah naib presiden Umno dan Menteri Pertahanan.

Bagaimanapun semalam Hishammuddin menjelaskan Ops Yaman 2 sudah mendapat kelulusan daripada MKN pada 2015. Kenyataan itu secara tidak langsung mengesahkan ia tidak menerima kelulusan kabinet.


Baca ‘Sejak bila MKN boleh kerah tentera ke luar negara?’


"Dia (Liew) kena tahu apakah itu MKN, saya rasa dia tidak tahu bagaimana sesebuah kerajaan berfungsi.

"Saya rasa mereka (Pakatan Harapan) juga tidak tahu jadi menteri," katanya.

Menurut Liew apabila sesuatu operasi perlu dijalankan ia mestilah mendapat arahan pemula daripada MKN, atau pun dalam kes Yaman itu, perlu ada arahan pemula daripada Jemaah Panglima-panglima Tentera.

"Bagaimanapun (dalam kes operasi Yaman 2), tiada sebarang arahan pemula bertulis daripada Jemaah Panglima-panglima atau MKN," katanya.

Justeru kata Liew beliau berharap Hishammuddin datang ke parlimen untuk membuat penjelasan berhubung isu berkenaan.

"Kita bincang isu yang begitu serius ini dan saya minta jawatankuasa pilihan buat siasatan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS