Berita Malaysiakini

‘Sejak bila MKN boleh kerah tentera ke luar negara?’

Diterbitkan  | 

Kumpulan veteran angkatan tentera Patriot mahu bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein untuk menjelaskan bagaimana penghantaraan tentera ke luar negara boleh mendapat kelulusan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kami mohon Hishammuddin untuk menjelaskan peruntukan mana dalam Akta MKN yang menyatakan majlis itu diberi kuasa untuk mengerahkan tentera ke luar negara dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang terlibat dalam peperangan dengan negara lain?

"Adakah beliau cuba mengatakan bahawa MKN adalah pihak yang kuasa untuk mengerahkan angkatan tentera ke luar negara?" soal Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mahukan jawapan daripada Hishammuddin sama ada kabinet, parlimen, dan jawatankuasa panglima-panglima boleh dilangkaui.

Semalam, Hishammuddin memberitahu pemberita bahawa pembabitan angkatan tentera di Yaman menerusi Ops Yaman 2 mendapat kelulusan daripada MKN pada 2015.

Hishammuddin membuat kenyataan itu selepas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong mendedahkan bahawa Ops Yaman 2 diteruskan meskipun tidak mendapat persetujuan kabinet.

MKN diperkenalkan pada 1971 susulan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 sebagai menggantikan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Pada Ogos 2016, MKN dijadikan akta selepas Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 diluluskan.

Undang-undang itu memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan "zon keselamatan" dengan, dengan perintah berkurung akan dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta itu yang menunjukkan MKN mempunyai kuasa berhubung kerahan tentera di luar negara.

[Baca berita penuh]