Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak berminat mengambil alih kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang kini dilanda kemelut kepimpinan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, MBM hanya akan berperanan sebagai orang tengah untuk mengatasi masalah pertubuhan itu.

Beliau berkata MBM telah menggariskan beberapa cadangan penyelesaian untuk dipertimbangkan oleh kedua-dua pihak yang bertelagah bagi menyelamatkan GPMS daripada menghadapi tindakan pembubaran oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Kemelut kepimpinan GPMS tercetus apabila dua presiden dilantik menerajui pertubuhan itu -- Datuk Suhaimi Ibrahim dan Datuk Reezal Merican Naina Merican, dalam pada pemilihan yang berlangsung secara berasingan pada 25 Disember lepas.

"Kemungkinan untuk GPMS dibubarkan tidak mungkin berlaku sebab kedua-dua mereka bersetuju untuk jumpa saya. Mereka tidak rela GPMS dibubarkan, jadi tindakan perlu diambil untuk atasi masalah itu," kata Menteri Besar Selangor itu ketika ditemui selepas merasmikan kilang memproses kopi Haco Asia Pacific Sdn Bhd di Taman Berjaya di Shah Alam.

Dr Mohamad Khir berkata dua kumpulan itu akan menghantar laporan mesyuarat masing-masing kepada ROS secepat mungkin bagi membolehkan badan itu membuat keputusan.

Katanya, langkah menghantar laporan mesyuarat dengan segera kepada ROS, walaupun dibenarkan berbuat demikian dalam tempoh 60 hari, akan membolehkan kemelut itu diselesaikan lebih cepat.