Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Kenal saya tak? Saya Yang Berhormat tau'
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 5:02 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Tampak kecewa kerana tidak berada di pentas sebaris pemimpin lain, veteran Umno Tajuddin Abd Rahman nampaknya tetap bersemangat menyampaikan ucapan di himpunan Icerd hari ini.

"Tuan-tuan kenal saya tak? Saya yang berhormat, tahu? Pengarah himpunan daripada Umno (tapi) duduk di bawah saja? Begitulah nasib."

Beliau bagaimanapun menyatakan penghargaan kepada penganjur Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sebaik dijemput ke pentas untuk menyampaikan ucapan.

"Tak apalah. Terima kasih (penganjur) Ummah, bagi juga peluang (untuk berucap)," katanya.

Sebelum itu, beliau yang merupakan anggota parlimen Pasir Salak melaungkan takbir sebanyak tiga kali yang disahut hadirin di depan pentas.

Tajuddin merupakan susuk yang berjaya menyatukan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak pada 17 November lalu, yang menarik ribuan hadirin.

Beliau juga merupakan penganjur Himpunan Melayu Bangkit, di lokasi sama, pada 2 September lalu.

Dua himpunan itu yang pada mulanya bermatlamat mengangkat isu Melayu dan Islam secara umum mendapat momentum selepas tercetusnya isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Selepas meluahkan 'kekecewaannya', Tajuddin tidak membuang masa dan terus menyerang konvensyen PBB itu dan apa yang didakwanya sebagai cara pertubuhan itu untuk mempengaruhi hala tuju negara.

“Mereka (PBB) hendak kita menerima konvensyen ini dan akan kenakan syarat-syarat, bagaimana kita hendak hidup dalam negara kita sendiri.

“Mereka nak kuasai sosiobudaya kita, minda kita, politik kita, hala tuju perjuangan kita orang Islam dan Melayu di negara ini.

"Go to hell with United Nation (pergi jahanam PBB)!” katanya lantang dan disambut sorakan mereka yang mendengar ucapannya. 

Lihat Komen
ADS