Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) bagi peminjam Perbadananan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diputuskan Kementerian Pendidikan, bukannya Kementerian Kewangan.

"Saya rasa Kementerian Pendidikan sudah cakap mengenai perkara ini.

"Ia bukan diputuskan oleh Kementerian Kewangan, ia diputuskan oleh Kementerian Pendidikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Biasa DAP Selangor di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Bagaimanapun, Lim enggan menyatakan sama ada beliau bersetuju dengan cadangan pelaksanaan pembayaran pinjaman pendidikan melalui PGB itu.

"Ia adalah keputusan kabinet, ia semua adalah keputusan kabinet," katanya ringkas.

Cadangan pelaksanaan skim PGB itu mencetuskan perasaan tidak puas hati orang ramai, terutama peminjam, selain pemimpin politik.

Ia diumum Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan dan melibatkan peminjam bergaji bulanan RM2,000 dan ke atas, melibatkan potongan di antara 2 peratus sehingga 15 peratus daripada gaji mereka.

Susulan kritikan pelbagai pihak enteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada dua hari lalu mengumumkan pelaksanaan PGB yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Januari depan akan ditangguh.

Sementara itu, Lim juga enggan menjawab pertanyaan pemberita apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai undang-undang antilompat parti.

"Saya perlu periksa dengan Dr Mahathir terlebih dahulu.

"Saya belum baca di surat khabar lagi (mengenai kenyataan Dr Mahathir itu).

"Saya rasa apa yang saya katakan tadi (dalam ucapan) sudah cukup," katanya.

Semalam, Dr Mahathir yang juga merupaka Pengerusi Bersatu berkata Putrajaya tidak akan menggubal undang-undang antilompat parti kerana wakil rakyat bebas memilih parti mengikut amalan demokrasi. 

Lihat Komen
ADS