Kira-kira 2,000 kakitangan lantikan politik di Kelantan akan membayar bonus mereka bulan ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Katanya, jumlah bonus yang dijanjikan itu sama seperti yang dinikmati kakitangan kerajaan yang lain.

"Masalah lambat membayar bonus ini kerana kita kena ikut prosedur dan ini masalah teknikal sahaja," kata Nik Aziz kepada pemberita di majlis sambutan Hari Raya Aidiladha di Banggol Chicha, Pasir Mas hari ini.

Sebelum ini kumpulan kakitangan berkenaan mengeluh bonus itu masih belum dibayar dan menyukarkan mereka dalam beberapa urusan seperti persekolahan anak-anak dan menyambut perayaan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, bonus yang bakal dinikmati itu tetap sama seperti kakitangan kerajaan lain iaitu sebulan atau sebulan setengah gaji berdasarkan kepada pendapatan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersedia mengkaji beberapa pengharaman hiburan seperti mak yong atau menora dengan syarat ia selari dengan tuntutan Islam.

"Islam tak sekat hiburan asalkan tidak melencong dari landasannya dan contohnya seperti kita bawa penyanyi Mawi baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata ini adalah susulan kepada langkah kerajaan negeri membenarkan semula permainan snuker di Kelantan.

Katanya, kerajaan menarikbalik pengharaman permainan itu kerana suasananya diibaratkan sebagai "sudah sampai masanya".

"Saya menunggu lama untuk melihat perkembangan ini dan oleh kerana semua pihak sudah bersetuju agar tidak ada unsur perjudian maka snuker boleh dimainkan semula," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata antara syarat lain, pengusaha pusat snuker perlu menghadkan tempoh masa operasi selain perlu membuka premis di tempat yang terbuka untuk memudahkan pemantauan pihak berkuasa.

"Dulu saya ke China dan melihat permainan snuker dimainkan di tepi-tepi jalan dan bercadang agar konsep itu boleh dipraktikkan di Kelantan," katanya.

Kakitangan politik