Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwah ajak pada kebaikan, tak semestinya tukar agama- Maszlee

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata konsep dakwah yang dikemukakannya di Sabah dan Sarawak telah disalah anggap apabila ditafsirkan sebagai usaha untuk menukar agama.

Beliau berkata, dakwah perlu dilihat secara universal iaitu mengajak kepada kebaikan.

Katanya, tugas guru sendiri adalah salah satu bentuk dakwah – mengajar dan mendidik anak bangsa supaya menjadi lebih baik dan berjaya dalam apa juga bidang.

"Bila saya sebut pasal guru yang mengajar di Sabah dan Sarawak sebagai medan dakwah, ada yang terus fikir pasal tukar agama. Itu pemahaman yang sempit.

"Jadikan orang (pelajar) bijak itu pun dakwah, apabila saya timbulkan di parlimen mereka di Sabah Sarawak bising. Kata saya, gunakan sekolah untuk berdakwah.

"Saya mahu betulkan mengajar kepada kebaikan itu dakwah," katanya ketika berucap pada majis penyerahan projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya, hari ini.

Kekurangan guru agama kritikal

Maszlee pada 11 Disember lalu di Dewan Rakyat berkata Kementerian Pendidikan mengakui kekurangan guru agama di Sabah dan Sarawak kritikal.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan guru agama dari Kelantan dan Terengganu tidak pulang ke Semenanjung buat sementara, sebaliknya terus menabur bakti di Sabah dan Sarawak, lapor Free Malaysia Today.

“Bekalan guru-guru agama di Sabah dan Sarawak memang benar-benar mendesak, sebab itu saya sudah bertemu dengan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) dan beberapa rakan dari Kelantan dan Terengganu.

“Jika boleh, kita pujuk ustaz dan ustazah dari Kelantan, Terengganu dan Kedah mengajar di Sabah dan Sarawak buat sementara ini tidak pulang ke Semenanjung bagi menjadi medan dakwah mereka dan medan menabur bakti,” jelasnya.

Kenyataan Maszlee itu menimbulkan rasa kurang senang pihak tertentu yang telah menyalah tafsir konsep dakwah yang dimaksudkan anggota parlimen Simpang Renggam itu.

Lantaran itu, Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) mengingatkan kerajaan supaya tidak menggunakan penjawat awam atau guru untuk membawa masuk sebarang unsur Islamisasi ke Sabah dan Sarawak.

Mereka berkata, kerajaan perlu melihat semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberi jaminan kepada kebebasan beragama di negeri itu.

ASC melalui satu kenyataan berkata, kenyataan Maszlee baru-baru ini membimbangkan kerana tidak sehaluan dengan perjanjian tersebut.

“Kenyataan menteri untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai ‘medan dakwah’ dan tempat penyebaran agama Islam tidak menunjukkan semangat MA63.

“Dan dia juga berhasrat membenarkan guru-guru dari Semenanjung untuk datang ke Sabah dan Sarawak untuk ‘mempromosikan’ Islamisasi ke sekolah-sekolah bukan Islam di sini,” katanya seperti laporan Free Malaysia Today.

Dakwah menentang rasuah

Sementara itu Maszlee berkata, dakwah dalam Islam bukan bermakna mengajar orang lain supaya menukar agama, malah mengajak orang ramai menentang keburukan seperti rasuah juga adalah sebahagian daripadak dakwah.

Dengan menjadikan kementeriannya sebagai contoh, usaha memberikan pendidikan yang sempurna kepada rakyat juga adalah satu dakwah.

Sementara itu dalam isu berlainan Maszlee berkata, di bawah pentadbiran baru, pihaknya akan berusaha untuk mengurangkan projek sakit.

"Kita inginkan yang terbaik kepada rakyat, kita ingin setiap sen duit pembayar cukai kembali kepada rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS