Malaysiakini BERITA

Desak Waytha undur: Syed Saddiq jawab Ramasamy

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN | Saya tidak masuk politik untuk play safe. Saya tidak masuk politik untuk jadi pak turut. Saya tidak masuk politik untuk membisukan mulut dan memekakkan telinga apabila rakyat sudah pun bersuara.

Saya bersedia untuk diambil tindakan jika perbuatan saya salah. Saya tidak akan memohon maaf hanya kerana berterus-terang.

Saya cadangkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy juga ambil tindakan ke atas Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin yang turut menyuarakan kebimbangan yang sama (mendesak P Waythamoorthy letak jawatan). Bukankah beliau rakan sekerja anda di Pulau Pinang?


Baca: Ramasamy selar Syed Saddiq kerana tuntutan Waytha undur


Saya cadangkan YB Ramasamy juga ambil tindakan ke atas Pemuda Amanah Terengganu kerana “menghina kebijaksanaan Tun” apabila mencadangkan P Waythamoorthy digantikan dengan Nurul Izzah.

Jangan lupa "sekolahkan" Penasihat Media Perdana Menteri, A Kadir Jasin sekali.

Sayap pemuda parti tuan sendiri mendesak Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik agar letak jawatan (nota editor: Pemuda DAP Sarawak telah menarik balik desakan itu). Tapi bila ada pimpinan pemuda Bersatu buat desakan yang sama, kita dituduh mengkhianati Pakatan Harapan (PH), dituduh memainkan sentimen perkauman, dituduh seperti Umno dan PAS.

Ini tiada kaitan dengan kaum. Ini tentang setuju untuk tidak bersetuju, untuk tidak menekan hak mana-mana pihak menyuarakan pandangan.

Sebagai ketua pemuda Bersatu, saya bertanggungjawab bagi membenarkan rakan-rakan saya untuk bersuara dan tidak membukukan perasaan mereka. Kita percaya dengan slogan “berani kerana benar”.

Jadi YB, jangan sesekali ingat kamu boleh mendiamkan anak muda ini.


SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN adalah ketua pemuda Bersatu dan menteri belia dan sukan.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.