Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pampasan konsesi: Najib edit kenyataan Lim 4 tahun lalu
Diterbitkan:  Dec 28, 2018 4:58 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Dalam sindiran terbaru hari ini, bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menyunting kenyataan yang dibuat Lim Guan Eng pada 2014 yang mengecam pentadbiran BN ketika itu.

Ia berkaitan langkah membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya bagi membekukan kenaikan tol.

Dalam tangkap layar kenyataan Lim itu, Najib menukar "BN" kepada "PH", dan jumlah RM400 juta (pampasan pada 2014) dengan RM1 bilion - merujuk kepada jumlah pampasan kepada syarikat konsesi iaitu RM972.75 juta seperti diumum semalam.

Najib berkata beliau berbuat demikian susulan tindakan kerajaan hari ini yang menurutnya meniru dasar itu.

"Hari ini kita lihat kerajaan PH banyak buat pusingan U dan copy paste dasar kerajaan BN yang mereka selalu kritik dan marah sebelum ini.

"Oleh itu saya juga copy paste kenyataan dahulu menteri kewangan kita yang marah saya bayar pampasan RM400 juta pada 2014 untuk tidak menaikkan tol," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Lim mengumumkan Kabinet setuju untuk membekukan kenaikan tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya yang tolnya layak dinaikkan pada 2019.

Najib menyindir kerajaan yang menurutnya "sangat bangga" dengan keputusan itu, sedangkan sebelum ini menempelak pentadbiran BN yang melakukan perkara sama.

“Setiap tahun kerajaan BN membayar pampasan, DAP marah dan tuduh saya hanya mahu memperkaya syarikat kroni. Saya dimarah lagi oleh DAP tahun lepas kerana membayar pampasan RM2.2 bilion untuk menghapuskan sepenuhnya empat tol di Johor, Selangor dan Kedah.

“Tiap-tiap tahun, DAP marah. Hari ini, PH sangat bangga...Menariknya, menteri kewangan adalah dari DAP, parti yang menjadikan acara tahunan untuk marah pada saya,” katanya lagi.

Najib juga sekali lagi menyatakan perjanjian konsesi lebuh raya yang berat sebelah dibuat pada zaman "perdana menteri dahulu".

"Malah kerajaan BN pada masa saya membeli balik dengan sepenuhnya syarikat PLUS pada tahun 2011 dan kini PLUS dimilik 51% Khazaah Nasional dan 49% oleh KWSP. Ya, KWSP, sekali lagi ia menguntungkan pencarum.

"Apabila kewangan negara mengizinkan, saya berusaha untuk menghapuskan tol sedikit demi sedikit dan kita berjaya untuk menghapuskan beberapa tol secara berperingkat...Sarawak dan Sabah tidak ada sebarang tol lebuh raya lagi," katanya.

Lihat Komen
ADS