AGM BERSATU | Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mencadangkan agar perbahasan Pemuda dan Wanita bagi Perhimpunan Agung Tahunan parti itu akan dibuka kepada media.

Syed Saddiq memaklumkan perkara itu kepada pemberita ketika ditanya sama ada petugas media akan dibenarkan membuat liputan pada masa depan memandangkan perbahasan kali ini dibuat secara tertutup.

"Saya akan cadangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang," katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Ketua Wanita Bersatu Rina Harun pula yang tidak menjawab soalan itu secara langsung berkata, beberapa sesi AGM ketika ini sudah pun dibuka kepada media.

"Ini merupakan kali pertama kita mengadakan AGM untuk Pemuda dan Wanita Bersatu. Ucapan dasar saya dan Syed Saddiq dibuka kepada media.

"Ucapan penggulungan, yang merupakan hasil perbahasan, juga dibuka kepada media," katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq juga memaklumkan bahawa Bersatu belum memutuskan berhubung sistem pengundian yang akan digunakan bagi pemilihan sulung parti pada tahun depan.

Jelasnya, perkara itu bukan sesuatu yang baru dibangkitkan pada perbahasan hari ini, tapi sebaliknya ia sudah dibincangkan untuk beberapa ketika.

"Kita sudah ada beberapa mesyuarat bagi memutuskan pendekatan terbaik untuk ke hadapan. Kita belum muktamadkan, tapi pimpinan tertinggi akan memutuskannya dalam masa terdekat.

"(Pengerusi Bersatu) Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pada tiga atau empat bulan lalu bahawa ia adalah 'satu orang satu undi'... Tapi ia masih dalam perbincangan," katanya.

[Baca berita asal]