Sumber: Utusan akan langsai tunggakan VSS sebelum 7 Jan
Pengurusan akhbar Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) akan melunaskan bayaran pertama Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), yang bermula pada Disember lalu sebelum 7 Januari ini.
Menurut sumber dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemegang Amanah VSS antara syarikat dan wakil-wakil pekerja yang mengambil VSS, perkara itu diputuskan pada satu mesyuarat khas yang diadakan dengan pengurusan tertinggi UMMB semalam.
"Bagi pihak perwakilan, buat masa ini semua isu yang berbangkit mengenai perlaksanaan VSS telah diberikan penyelesaian.
"Para pekerja yang menerima tawaran VSS kini hanya menunggu pelaksanaannya," kata sumber itu.
Sumber juga memaklumkan bahawa bayaran dua bulan gaji yang tertangguh pada 25 Disember sebelum ini akan dilunaskan syarikat pada 25 Januari.
Awal hari ini, kumpulan pemantau media, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menggesa pihak pengurusan akhbar Utusan Malaysia menyelesaikan bayaran pampasan pertama VSS yang masih tertunggak.
"Geramm menggesa pihak pengurusan Utusan Malaysia untuk mengambil langkah segera bagi menunaikan janji kepada pekerja-pekerja terlibat, agar mereka dapat memulakan tahun baru dengan langkah baru.
"Geramm berpandangan adalah tidak adil bagi pihak pengurusan Utusan Malaysia untuk mengabaikan hak pekerja-pekerja yang telah lama menyumbang tenaga serta berkorban dalam usaha mempertahankan operasi syarikat akhbar Melayu pertama tanah air itu," kata kumpulan itu.
Kenyataan Geramm itu susulan laporan The Malaysian Insight yang melaporkan pihak pengurusan Utusan melalui surat pekeliling memaklumkan pembayaran pampasan pertama bagi lebih 700 kakitangannya ditangguhkan ke tarikh yang tidak dinyatakan.
Surat berkenaan dikatakan menjelaskan bahawa pengurusan Utusan tidak cukup dana untuk melunaskan pembayaran pampasan VSS kerana belum dapat wang daripada pihak yang membeli aset syarikat.
Pada 21 September lepas, susulan masalah kewangan dan hutang, pihak pengurusan Utusan menawarkan VSS untuk mengurangkan separuh daripada 1,500 kakitangannya.
Tawaran skim berkenaan diumumkan ketika Utusan diterajui bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Abdul Aziz Sheikh Fadzir sebagai pengerusi eksekutif syarikat.
Bagaimanapun, Abdul Aziz meletakkan jawatan 13 Dis lalu, iaitu dua minggu selepas melaksanakan langkah mengecilkan operasi syarikat.

