Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
YIK tukar nama Maahad Darul Anuar
Diterbitkan:  Jan 1, 2019 4:11 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Selepas mengambil alih secara rasmi pengurusan Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka di Kota Bharu pada 26 Disember lalu, Yayasan Islam Kelantan (YIK) dilapor menukar nama sekolah agama tersebut.

Sekolah yang menjadi kontroversi di kalangan keluarga bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Adbul Aziz Nik Mat itu ditukar menjadi Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Anuar (SMUDA).

Pada hari pertama sesi persekolahan 2019 hari ini, pengetua baru SMUDA, Nik Hamdi Abdul Ghani dilaporkan berkata, seramai 217 pelajar mendaftar di sekolah tersebut.

Menurutnya, pendaftaran terbanyak melibatkan pelajar tingkatan satu berjumlah 130 orang.

Selain itu, SMUDA turut menerima pendaftar seramai 23 pelajar tingkatan dua; 21 orang bagi tingkatan tiga; 20 orang tingkatan empat dan 23 orang pelajar tingkatan lima.

"Pendaftaran bagi tingkatan satu sudah ditutup kerana YIK menetapkan hanya empat kelas dibuka kepada mereka, tetapi kita pertimbangkan hari ini kerana ada beberapa pelajar dari luar Kelantan yang baru tiba.

"Kita juga masih membuka tempat terutama kepada pelajat tingkatan lain yang sebelum ini belajar di sekolah YIK yang agak jauh dari Pulau Melaka untuk berpindah ke sini," katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Terdahulu, sekolah agama tersebut menjadi kontroversi selepas Keluarga Besar Nikmatillah memohon supaya YIK mengambil alih pengurusan sekolah tersebut daripada pengurusan sebelum ini yang diuruskan anak lelaki sulung Nik Aziz, Nik Omar.

Bagaimanapun Nik Omar selaku pengerusi lembaga pengarah Maahad Darul Anuar mendakwa permohonan itu tidak sah kerana tidak melalui kebenaran pihaknya sebagai pewaris yang sah.

Sementara itu, beliau yang kini merupakan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas mengenai isu tersebut hari ini.

Sebaliknya kata Nik Omar, beliau akan memberi kenyataan berkaitan pada hari Jumaat nanti.

"Insya-Allah saya akan bagi kenyataan pada hari Jumaat nanti," katanya ringkas.

Lihat Komen
ADS