Pengganti Dr M mampu selesaikan masalah negara? - Ezam
Apakah individu yang bakal menggantikan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mampu menyelesaikan masalah negara atau akan mengundang lebih banyak masalah?
Ini persoalan yang diajukan Anggota Dewan Negara, Mohamad Ezam Mohd Nor dalam satu kenyataan media hari ini.
"Mahathir tentunya tidak sempurna tetapi dia dilihat mampu selesaikan masalah negara berdasarkan rekodnya.
"PM selepas ini juga perlu diangkat berdasarkan atas asas yang sama. Apakah dia mampu dan dilihat mampu selesaikan masalah negara? Atau dilihat mengundang lebih banyak masalah kepada negara?" soal Ezam.
Meskipun tidak menyebut secara langsung, Ezam dipercayai merujuk kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim yang diuar-uarkan sebelum ini bakal menggantikan Mahathir.
Untuk rekod, Ezam pernah menjadi setiausaha politik Anwar kira-kira 20 tahun lalu sebelum bekas timbalan perdana menteri itu dipecat daripada jawatannya kerana tuduhan liwat.

Beliau merupakan ketua Pemuda pertama Parti Keadilan Nasional (sebelum PKR) dan pesaing utama dalam karier politik Azmin Ali, yang kini merupakan menteri hal ehwal ekonomi.
Setelah berlaku perselisihan dan krisis keyakinan terhadap Anwar, Ezam keluar parti dan menubuhkan NGO antirasuah, Gerak sebelum menyertai Umno ketika era pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau dilantik menjadi senator sehingga 2016 dan keluar Umno buat kali kedua selepas menganggap parti itu bawah pentadbiran Najib Razak tidak lagi serius menentang rasuah.
Beliau juga pernah menyertai Bersatu sebelum turut mengisytiharkan keluar daripada parti itu pada Dis 2016.
Sebelum pilihan raya umum ke-14, Ezam menyatakan sokongan agar Azmin dinamakan sebagai calon perdana menteri dan bukannya Mahathir sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya.
Baca: Ezam isytihar sokong Azmin, imbas kenangan reformasi
Mahathir wajar pegang jawatan PM sepenggal
Isu mengenai jawatan perdana menteri kembali hangat diperkatakan apabila perwakilan Bersatu dalam perhimpunan agung tahunannya baru-baru ini mencadangkan agar Mahathir memegang peranan itu sehingga pilihan raya umum ke-15.
Ini sekali gus bercanggah dengan jaminan Mahathir yang berulangkali menyatakan akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas dua tahun.
Baca: Perwakilan Bersatu cadang Dr M kekal PM hingga PRU15
Menurut Ezam, cadangan agar Mahathir terus memegang jawatan perdana menteri selama sepenggal itu adalah wajar.
Katanya mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu dibuat atas harapan agar Mahathir menyelesaikan masalah negara yang meruncing ketika itu.
Tambah beliau, sejarah juga membuktikan cubaan blok pembangkang sebelum ini dan "penawaran calon PM" selain Mahathir gagal memperolehi mandat rakyat.
"Maka hentikanlah cakap-cakap mengenai tempoh jawatan PM ini.
"Ia bukan sahaja tidak relevan malah tidak bertanggungjawab. Tanggungjawab seluruh pemimpin PH hari ini adalah membantu PM selesaikan masalah negara hari ini," katanya.

