Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Semboyan telah berbunyi, anak muda sedia perang'
Diterbitkan:  Jan 2, 2019 12:01 AM
Dikemaskini: 4:22 PM

Seorang exco Pemuda Bersatu memberi amaran terhadap sebarang usaha untuk menyingkirkan ketua mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman oleh beberapa ketua bahagian.

"Saya memberi amaran kepada gerakan yang ingin menjatuhkan Chief Syed Saddiq. Anak muda sentiasa bersemangat menentang penindasan dan juga juga sentiasa bersedia untuk berperang.

"Semboyan telah berbunyi, bersedialah Armada demi masa depan anak muda," kata ketua Biro Sukan Permotoran Pemuda Bersatu, Zainal Abidin Sihab dalam satu kenyataan media.

Menurut Zainal pihaknya berdiri teguh dan menyokong penuh kenyataan Syed Saddiq yang membidas 'perangai bawaan Umno' sebahagian ketua bahagian Bersatu.

Ini selepas mereka meminta kontrak dan jawatan kerajaan diberikan ketika perhimpunan agung tahunan parti itu baru-baru ini.

"YAB Tun Dr Mahathir (Mohamad) juga menyatakan pada hari ini tidak bersetuju dan menolak sikap bawaan Umno ini yang mana setiap tender kerajaan hendaklah dijalankan secara profesional dan terbuka.

"Di manakah maruah kita semua yang selama ini bermatian ingin mengembalikan kegemilangan Malaysia dan menghapuskan amalan buruk para pemimpin yang menyumbang kejatuhan kerajaan sebelum ini," tegasnya.

Terdahulu, Malaysiakini malam ini melaporkan mesej perbualan di media sosial antara ketua-ketua bahagian Bersatu yang berusaha menjatuhkan ketua sayap pemuda parti mereka.


Baca: Ketua-ketua bahagian berang, bincang singkirkan Syed Saddiq


"Untuk kembali ke muka buku yang sama, Saddiq perlu basuh dosanya yang membuka aib Bersatu dan perlu memohon maaf secara terbuka kepada (perwakilan) Wilayah Persekutuan dan ketua-ketua bahagian sekalian.

"Saya berjanji akan menggerakkan seluruh negara untuk tolak Saddiq. Insha Allah," kata seorang ketua bahagian.

Ahad lalu, Syed Saddiq menyelar perwakilan Bersatu yang meminta supaya kontrak kerajaan dan jawatan diberikan kepada mereka ketika perhimpunan agung tahunan parti itu.

Tidak lama selepas itu, Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman menyatakan adalah 'bodoh' jika pemimpin parti itu tidak menggunakan sumber kerajaan termasuk menerima kontrak dan jawatan.

Abdul Rashid juga berkata Bersatu perlu menang dengan 'menggunakan apa sahaja cara'.

Susulan itu, pemimpin Pemuda Bersatu tampil menyelar kenyataan Abdul Rashid dan mempertahankan pendirian ketua mereka.


 

Lihat Komen
ADS