Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ketua-ketua bahagian berang, bincang singkirkan Syed Saddiq
Diterbitkan:  Jan 1, 2019 8:46 PM
Dikemaskini: 4:39 PM

Ketua-ketua bahagian Bersatu dikatakan membincangkan usaha untuk menyingkirkan Ketua Pemuda parti itu, Syed Saddiq Abdul Rahman kerana menyelar pemimpin parti yang meminta projek dan jawatan dari kerajaan.

Mesej perbualan di media sosial antara ketua-ketua bahagian Bersatu menunjukkan mereka melepaskan geram terhadap ketua sayap pemuda Bersatu atau lebih dikenali sebagai Armada itu.

"Untuk kembali ke muka buku yang sama, Saddiq perlu basuh dosanya yang membuka aib Bersatu dan perlu memohon maaf secara terbuka kepada (perwakilan) Wilayah Persekutuan dan ketua-ketua bahagian sekalian.

"Saya berjanji akan menggerakkan seluruh negara untuk tolak Saddiq. Insha Allah," kata seorang ketua bahagian.

Ahad lalu, Syed Saddiq ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu membidas perwakilan dari Wilayah Persekutuan kerana meminta kontrak dari kerajaan.


Baca: Syed Saddiq berang perwakilan guna pentas minta kontrak


"Saya nak tegur sebagai anak muda. Perwakilan Wilayah tadi. Sampai berani nak namakan menteri yang menjanjikan (kontrak). Tak masuk akal!

"Bayangkan, itu boleh jadi kes SPRM. Mana boleh!" tegurnya.

Tidak lama selepas itu, Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Ab Rahman menyifatkan mereka yang membantah gesaan perwakilan itu sebagai 'bodoh'.

Menurut Abdul Rashid, dalam pilihan raya, Bersatu perlu menggunakan sumber kerajaan dan apa cara sekalipun untuk berkuasa.


Baca: Naib presiden: Bodoh kalau tak guna sumber kerajaan


Bagaimanapun, kepimpinan Bersatu tampil membidas Abdul Rashid dan mempertahankan pendirian ketua mereka.

 "Kebiadapan Armada mencabar ketua-ketua bahagian satu perkara melampau. Armad tidak kenal siapa dicabarnya.

"Syed Saddiq tidak mendidik mereka cara menghormati. Saya nak tengok bagaimana Armada nak bergerak tanpa sumber," kata seorang lagi ketua bahagian.

Sementara itu Ketua Bersatu Bahagian Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail dalam catatan Facebook  mempertikai pelantikan ketua pegawai eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes sebagai pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia.

Mohd Shani mempersoalkan mengapa bukan ahli Bersatu dilantik ke jawatan itu.

"Syabas dan juga tahniah kepada Syed Saddiq, menteri belia dan sukan kerana percaya dan mengamalkan konsep kesamarataan dan berintegriti penuh dengan melantik Tan Sri Tony Fernandes menerajui Perbadanan Stadium Malaysia.

"Kepada saf kepimpinan PPBM (Bersatu) yang ada tak layak untuk dilantik menjadi pengerusi sebab kuat minta projek," katanya.

Mohd Shahni berkata, Bersatu merupakan sebuah "parti Melayu tegar" dan tidak sesekali bersikap apolegetik untuk mempertahankan hak kaum Melayu.

"Sekiranya Syed Saddiq mempunyai idea lain maka dia harus menyertai PKR," katanya.

Lihat Komen
ADS