'Henti cerca, ugut, kata-kata kesat'
Ketua Biro Integriti Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menggesa tindakan mencerca, mengugut dan melemparkan kata-kata kesat kerana berbeza pandangan perlu ditinggalkan bagi menjayakan agenda Malaysia Baru.
Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata perbuatan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana Bersatu sentiasa terbuka dengan pandangan ahli dan akar umbi.
“Rujuklah kembali kata-kata Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad bahawa setiap ahli parti mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat masing-masing terutama ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu.
“Tindakan mencerca, mengugut, apatah lagi melemparkan kata-kata kesat hanya kerana berbeza pendapat merupakan budaya berpolitik cara lama yang sepatutnya ditinggalkan oleh mereka yang menyokong pembentukan identiti Melayu Baru bagi menjayakan agenda Malaysia Baru demi rakyat marhaen,” kata Muhammad menerusi kenyataannya, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Malaysiakini melaporkan beberapa ketua-ketua bahagian dikatakan berang dan sedang membincangkan usaha untuk menyingkirkan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahad lalu, Syed Saddiq menyelar perwakilan Bersatu yang meminta supaya kontrak kerajaan dan jawatan diberikan kepada mereka ketika perhimpunan agung tahunan parti itu.
Tidak lama selepas itu, Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman menyatakan adalah 'bodoh' jika pemimpin parti itu tidak menggunakan sumber kerajaan termasuk menerima kontrak dan jawatan.
Abdul Rashid juga berkata Bersatu perlu menang dengan 'menggunakan apa sahaja cara'.
Susulan itu, pemimpin Pemuda Bersatu menyelar kenyataan Abdul Rashid dan mempertahankan pendirian ketua mereka.

