Kes Elie tidak jejaskan Makna, Kata Farid Ariffin
Kegiatan Majlis Kanser Nasional (Makna) tidak terjejas walaupun janji warga Lebanon Dr. Elie Yousef Najem untuk menderma RM1.1 bilion kepadanya belum tentu menjadi kenyataan.
Kegiatan Majlis Kanser Nasional (Makna) tidak terjejas walaupun janji warga Lebanon Dr. Elie Yousef Najem untuk menderma RM1.1 bilion kepadanya belum tentu menjadi kenyataan.
Presiden Makna, Datuk Mohamad Farid Ariffin berkata pengurusan dan aktiviti badan amal itu bagi membantu pesakit kanser yang berpendapatan rendah berjalan seperti biasa walaupun tanpa sumbangan yang dijanjikan Elie itu.
"Perkara ini tidak menjejaskan kami, kami telah mengumpul RM19 juta tanpa bantuan Dr Elie dan jumlah itu sangat banyak. Lebih 70 peratus daripadanya perlu dibelanjakan untuk golongan miskin."
"Apa jua yang berlaku, kami akan meneruskan kerja kerana motif kami, sasaran kami, agenda kami dan tujuan kami diwujudkan ialah untuk pesakit kanser yang miskin. Walau apapun yang terjadi golongan miskin ini perlu mendapat bantuan yang diperlukan," katanya pada sidang berita selepas majlis perasmian Laboratori Penyelidikan Kanser Makna-Universiti Putra Malaysia (UPM) di ibunegara.
Menurut laporan Bernama, pada 7 Januari lepas, Elie, yang mendakwa mempunyai kekayaan bernilai RM175 bilion, mencetuskan kontroversi selepas menyatakan hasratnya menderma AS275 milion (RM1.1 bilion) kepada Makna untuk membina sebuah hospital merangkap pusat rawatan dan penyelidikan kanser untuk kanak-kanak di negara ini.
Selepas pengumumannya kepada media, Elie berhadapan dengan dakwaan penipuan membabitkan wang beribu ringgit di negara ini, dan ekoran itu, pelbagai laporan polis berkaitan pecah amanah serta penipuan dibuat ke atasnya oleh orang awam. Kini beliau ditahan reman oleh polis untuk siasatan lanjut.
Mohamad Farid berkata Makna biasa dengan janji yang tidak dipenuhi tetapi kes janji Elie yang membabitkan wang yang begitu banyak "datang kepada kami sekali dalam 10 tahun.
"Tetapi yang lebih penting ialah kita memperkatakan tentang pendapatan jangka panjang yang berkekalan, kita tidak bercakap mengenai derma. Kita bercakap mengenai pembangunan dana yang berkekalan," katanya.
Mohamad Farid berkata Makna tidak pernah mempertikaikan latar belakang penderma jika mereka mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Bank Negara iaitu tidak boleh menerima sumbangan daripada hasil haram seperti judi, arak, tembakau dan `pembersihan wang haram.'
Pada masa ini badan itu sedang berusaha mengutip derma sebanyak RM150 juta untuk tempoh lima tahun bagi membantu membiayai rawatan pesakit kanser yang kurang berkemampuan, katanya.
Makmal penyelidikan
Terdahulu, Naib Canselor UPM Prof Dr Nik Mustapha Raja Abdullah berkata Laboratori Penyelidikan Kanser Makna-UPM yang ditubuhkan pada Januari tahun lepas, pada dasarnya menjalankan aktiviti penyelidikan bagi meningkatkan keupayaan rawatan serta pengurusan pesakit kanser.
Buat permulaan, laboratori itu menjalankan beberapa program penyelidikan berkaitan penggunaan sumber semula jadi daripada tumbuhan herba sebagai rawatan pemulihan kanser.
Aktiviti penyelidikan di laboratori itu dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu kumpulan Terapeutik Herba Perubatan, Penyelidikan Klinikan, Diaknostik, Statistik dan Epidimologi serta Perkhidmatan Klinikal.
Berdasarkan statistik, kadar kanser di negara ini sekitar 150 kes bagi setiap 100,000 penduduk setahun dan ini bermakna terdapat lebih kurang 33,000 kes kanser baru pada setiap tahun atau 90 kes baru setiap hari.
"Berbanding di barat, pesakit kanser di Malaysia mendapat kanser lebih awal iaitu antara umur 40 hingga 50 tahun. Secara umumnya, pesakit kanser di negara ini 10 tahun lebih muda daripada pesakit di negara maju," katanya.

