Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi Prof Dr Noor Azizi Ismail dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Pelantikan berkuat kuasa Isnin ini hingga 6 Jan 2022 itu adalah bagi menggantikan Prof Dr Husaini Omar yang tempoh perkhidmatannya sebagai Naib Canselor UMK akan berakhir esok.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian Noor Azizi semasa memegang jawatan pentadbiran utama di pelbagai peringkat, antaranya sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM).
Noor Azizi, 50, memiliki Ijazah Kedoktoran Perakaunan dan Sistem Maklumat dari Loughborough University, United Kingdom selain Ijazah Sarjana Sistem Maklumat Perakaunan dari University of Memphis, Amerika Syarikat serta Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebelum menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Noor Azizi terlebih dahulu memulakan kerjaya sebagai pensyarah jurusan sistem maklumat perakaunan di UUM selain menyandang jawatan selaku Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Kolej Perniagaan UUM dan Dekan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business UUM.
Kementerian itu berharap pelantikan tersebut akan menyumbang kepada kesinambungan pencapaian dan kecemerlangan UMK dalam mencapai visi dan misi sebagai universiti yang berfokuskan kepada keusahawanan.
Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Husaini atas khidmat bakti, kepimpinan serta kepakaran yang disumbangkannya sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UMK.
- Bernama
