Pemuda PAS Perlis nafi dalangi bantahan pemecatan imam
Pemuda PAS Perlis mengecam tindakan pihak yang cuba mengaitkan sayap parti itu dengan kontroversi pemecatan 25 imam di negeri berkenaan.
Ketuanya, Muhammad Azmir Azizan berkata ia berhubung dakwaan Pemuda PAS mendalangi demonstrasi di Masjid Guar Syed Alwi, Kangar petang semalam.
"Kenyataan yang bertajuk 'Pemuda PAS dalangi demo di Masjid Guar Syed Alwi?' adalah kenyataan jahat berbaur fitnah kerana cuba menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada PAS.
"Pemuda PAS Perlis juga mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang cuba membabitkan PAS dalam isu (pemecatan) 25 imam," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, kira-kira 100 orang berkumpul di perkarangan Masjid Saidina Umar al-Khattab di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, bagi mendesak Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) Dr Hazman Hassan meletak jawatan.

Bantahan dan tekanan itu diadakan sebagai tanda protes berhubung isu pemecatan 25 imam masjid di Perlis.
Susulan itu juga, lima petugas Masjid Saidina Umar al-Khattab di Kampung Guar Syed Alwi itu bertindak meletakkan jawatanya.
Imam masjid itu antara 25 yang dipecat akhir Disember lalu.
Mereka yang meletakkan jawatan adalah dua bilal, dua siak dan seorang penjaga kariah.
Mohd Asri sebelum ini menjelaskan penamatan dan penukaran lebih 25 orang imam di Perlis adalah di luar bidang kuasanya.
Katanya, keputusan penamatan khidmat dan pertukaran imam-imam tersebut di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan bukan bidang kuasa Jabatan Mufti.
Sementara itu, berhubung tuduhan penglibatan PAS dalam bantahan berkenaan, Pemuda PAS Perlis membuat laporan polis hari ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Pemuda PAS Perlis juga menyatakan pendirian bahawa isu berkenaan harus ditangani dengan baik antara pihak JAIPs dan ahli kariah masjid-masjid yang terlibat.
"Pemuda PAS Perlis juga menaruh keyakinan bahawa pentadbiran JAIPs sentiasa terbuka dalam menerima perbezaan dalam amalan yang dijalankan selagimana tidak bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)," katanya.

