Terjemahan Naib Presiden PAS, Husam Musa mempersoalkan tindakan terbaru kerajaan mahu menggabungkan syarikat kewangan milik kerajaan, Avenue Capital Resources Berhad dengan ECM Libra Bhd yang ekuitinya turut dikuasai oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin.

Beliau berang kerana cadangan penggabungan itu dibuat selepas 25 hari Khairy yang merupakan menentu Perdana Menteri mengumumkan pembelian 3 peratus saham dalam ECM Libra.

Husam juga mempersoalkan cadangan ECM Libra untuk terlibat dalam pengurusan entiti baru yang akan ditubuhkan selepas penggabungan itu selesai kerana ia bertentangan dengan amalan Kementerian Kewangan.

Beliau juga bertanya siapakah yang akan menguruskan entiti baru itu kerana terdapat peraturan menghalang pemegang saham menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam cadangan penggabungan yang baru diumumkan itu, entiti baru berkenaan akan diuruskan oleh Avenue Capital dan ECM Libra.

"Kementerian Kewangan mesti mengikut prosidur yang telah dibuat oleh bekas Menteri Kewangan, Dr Mahathir Mohamad yang menghalang pemegang saham terlibat dalam pengurusan GLC.

"Dalam pengumuman penggabungan itu juga dinyatakan entiti baru itu akan diuruskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECM, Lim Kian Onn dan Ketua Pegawai Operasinya, David Chua."

"Mengapa kerajaan melepaskan pengurusan Avenue Capital sedangkan ia memiliki ekuiti yang lebih besar dari ECM? Mengapa pula ECM dikecualikan dari peraturan itu?" soalnya dalam satu kenyataan.

Husam menambah, nampaknya hubungan antara Menteri Kewangan (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), orang yang akan meluluskan cadangan penggabungan itu dengan menantunya dalam urusniaga ini semakin jelas.

Penggabungan itu kelak akan membolehkan Khairy menerusi Avenue Capital, menguasai lebih 40 urusniaga dari GLC termasuk Tenaga Nasional dan Telekom yang bernilai lebih RM3 billion.

Menurut Husam, sebelum ini Kementerian Kewangan pernah menolak cadangan KUB Malaysia Berhad untuk menguasai lebih 32 peratus ekuiti milik kerajaan dalam Avenue Capital.

Penguasaan asing

Husam baru-baru ini telah diberi amaran akan dikenakan tindakan mahkamah oleh ECM Libra kerana membuat kenyataan mempertikaikan tindakan Khairy membeli 3 peratus saham dalam syarikat itu yang bernilai RM9.2 juta.

Naib Presiden PAS itu juga menegaskan, penggabungan itu juga akan membolehkan kuasa asing menembusi aktiviti perbankan negara ini kerana urusniaga Avenue Capital dan ECM Libra ini melibatkan pelabur asing dari Singapura.

Bukan itu sahaja katanya, malah kepentingan asing juga akan menembusi syarikat Pos Malaysia kerana Avenue Capital turut menguasai 18 peratus saham syarikat pos nasional itu.

Husam juga mendesak Kementerian Kewangan jangan meluluskan cadangan penggabungan itu sehingga soal percanggahan kepentingan Abdullah sebagai Menteri Kewangan dengan Khairy sebagai pengarah ECM Libra dijelaskan.

" Langkah yang dibuat oleh semua anak bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad yang menjual semua pegangan saham mereka perlu dicontohi," kata Husam lagi. Berita asal