Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua anggota polis mengaku tak salah minta, terima rasuah
Diterbitkan:  Jan 14, 2019 1:34 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Baharu hari ini terhadap tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah serta satu pertuduhan alternatif menerima suapan berkenaan daripada seorang lelaki, tiga tahun lepas.

Konstabel Mohd Ridzuan Sedali, 28, dan Lans Koperal Muhammad Nurulkiflee Abdul Shukor, 27, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-duanya secara bersama didakwa meminta suapan wang tunai RM300 daripada seorang lelaki yang ditahan sebagai dorongan supaya tidak menjalankan ujian saringan air kencing dan memulangkan semula kad pengenalan lelaki itu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Balai Polis Mawai, Kota Tinggi, antara 9.30 malam dan 10 malam, 31 Mac 2016.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-duanya secara bersama didakwa bersetuju menerima wang tunai RM300 itu daripada lelaki sama, bagi dorongan yang sama, di tempat dan waktu yang sama, manakala bagi pertuduhan ketiga pula, kedua-duanya didakwa meminta lagi suapan RM300 bagi tujuan sama daripada lelaki sama, di tempat sama, kira-kira 4.40 petang, 1 April 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17 (a) akta sama serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM 2009 selain dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif pula, kedua-dua mereka sebagai penjawat awam didakwa dengan niat bersama menerima untuk diri mereka barangan berharga iaitu wang tunai RM300 dengan tiada balasan daripada lelaki sama di tempat sama, pada 1 April 2016.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun Peguam Mohd Asram Zakaria yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah ikat jamin lebih rendah dengan alasan Mohd Ridzuan yang bertugas di Balai Polis Kota Tinggi mempunyai dua anak berumur dua dan empat tahun dengan gaji RM850 sebulan manakala Muhammad Nurulkiflee yang bertugas di Balai Polis Bukit Besar pula berpendapatan RM1,400 sebulan selain menanggung tiga adik-beradik dan ibu bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 13 Feb depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS