Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menegaskan bahawa ia akur dengan keputusan Kabinet membubarkan pasukan sukarela yang baru ditubuhkan.

Jawi turut menafikan laporan akhbar kononnya ia akan tetap meneruskan usaha penubuhan pasukan itu walaupun tanpa restu Kabinet.

Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Idris Husin menafikan ada mengeluarkan kenyataan kepada sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris bahawa Jawi akan meneruskan penubuhan skuad itu walaupun bertentangan dengan arahan Kabinet.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada akhbar itu dan penjelasan saya mengenai pasukan itu telah disalah tafsirkan," katanya bagi mengulas laporan muka hadapan akhbar berkenaan bahawa Jawi ingkar dengan keputusan Kabinet.

Menurut laporan Bernama beliau berkata idea asal penubuhan pasukan itu adalah murni iaitu untuk mendekati masyarakat terutama mereka yang terdedah dengan gejala keruntuhan moral terutama remaja Islam dengan cara berhemah iaitu memberi nasihat agar mereka tidak melakukan perbuatan berkenaan.

Beliau mengulangi bahawa pasukan itu bukan merupakan "skuad pengintip" atau "polis pencegah maksiat" seperti yang digembar-gemburkan dalam media sehingga menimbul kebimbangan banyak pihak tentang kemungkinan pasukan itu akan menjejaskan hak kebebasan peribadi orang ramai.

Malahan, katanya anggota pasukan itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menahan atau melakukan sesuatu yang tidak wajar terhadap pasangan orang Islam yang didapati melakukan perbuatan tidak senonoh seperti bercumbu-cumbuan di tempat awam.

Idris berkata anggota pasukan itu yang terdiri daripada anggota masyarakat yang prihatin terhadap gejala maksiat yang melanda masyarakat Islam kini tertutama golongan remaja, telah diberi taklimat serta penerangan tentang apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan dalam menasihati pasangan orang Islam yang melakukan perbuatan yang mengaibkan.

"Ini adalah bagi menjaga kesucian serta imej agama Islam itu sendiri terutama pada pandangan golongan bukan Islam," katanya.

Idris berkata pihak Jawi akan memberi taklimat kepada Menteri di Jabatan Perdana Datuk Dr Abdullah Zin apabila beliau kembali daripada mengerjakan Haji di tanah suci Mekah untuk disampaikan kepada Kabinet.

Bagaimanapun, katanya oleh kerana Kabinet telah mengeluarkan arahan supaya penubuhan pasukan itu dihentikan, pihak Jawi akur dengan keputusan itu dan akan membubarkan pasukan yang telah ditubuhkan.