Mahkamah Tinggi Syariah Seremban yang bersidang hari ini memutuskan mayat Nyonya Tahir diserahkan kepada keluarganya dan dikebumikan mengikut upacara Buddha setelah wanita itu disytiharkan sebagai bukan Islam ketika meninggal dunia.

Hakim Mahkamah Tinggi Syriah, Mohd Shukor Sabudin memutuskan demikian selepas mendengar permohonan ex-parte perisytiharan Islam yang dikemukakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Pengarah JHEAINS.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes berkaitan kepentingan orang Islam, termasuk masalah akidah yang berlaku di negara ini.

Katanya ia juga diputuskan berdasarkan kepada afidavit yang dikemukakan oleh anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt dan juga keterangannya bersama kakaknya, Chiang Kwang Ying, 43, di mahkamah hari ini.

Dalam penghakimannya, Shukor berkata selepas mendengar serta meneliti keterangan waris Nyonya dan bukti yang dikemukakan di mahkamah, mahkamah memutuskan bahawa Nyonya Tahir, bernombor kad pengenalan 180425-04-5054 @ 02033418 bukan beragama Islam semasa kematiannya.

"Mahkamah membenarkan ahli-ahli waris si mati untuk menguruskan pengebumian mayat berkenaan. Mahkamah mengarahkan Hospital Tampin menyerahkan mayat kepada ahli-ahli waris si mati," katanya.

Menurut Laporan Bernama, plaintif dalam permohonannya Jumaat lepas memohon keputusan mahkamah bagi menentukan status agama Nyonya dan permintaan keluarganya untuk mengebumikan mayat wanita itu mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Peguam Syarie Siti Harlina Shahran mewakili plaintif iaitu anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt manakala Koo Chin Nam yang dibantu Kevin Koo S K bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Nyonya.

Selain itu, Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia Muhamad Burok, yang juga peguam syarie, bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak persatuan berkenaan.

Turut hadir pada prosiding hari Isnin ialah Pengarah JHEAINS Datuk Zaharudin Mohd Shariff, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah Datuk Gan Chin Yap, Adun Temiang Datuk Lee Yuen Fong, Adun Rahang Datuk Yip Chee Keong dan Adun Chuah Foo Ming Chee.

Bersekedudukan

Terdahulu, Siti Harlina memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ah Fatt, 40, telah mengemukakan afidavit bagi meminta supaya mayat ibunya disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Kandungan afidavit itu antara lain berhubung keputusan laporan penyiasatan Pejabat Agama Islam Alor Gajah, Melaka pada 7 Mei 1986 mengenai laporan bersekedudukan antara Nyonya dan suaminya, Chiang Meng.

Dokumen penyiasatan itu ditulis oleh Pemeriksa Hal Ehwal Agama 1 Daerah Alor Gajah, Melaka, Ab Azit Abdullah melalui kadi daerah yang dialamatkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka.

Antara kandungan laporan siasatan itu ialah Nyonya dilahirkan pada 1918 di Alor Gajah, Melaka dan dipelihara sejak kecil oleh neneknya, seorang Melayu yang berkahwin dengan seorang mualaf Cina berketurunan Hailam.

Hasil penyiasatan itu mendapati sejak dipelihara oleh neneknya, wanita itu mendapat asuhan dan didikan mengikut budaya serta agama Buddha.

Pada 1936, ketika berusia 18 tahun, dia melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki Cina bernama Chiang Meng dan dikurniakan 13 anak. Sejak berkahwin, Nyonya mengamalkan ajaran Buddha dan memakan babi manakala suaminya itu tidak pernah memeluk Islam.

Abd Azit dalam laporannya berkata hasil penyiasatan mendapati wanita itu membuat pengakuan untuk kekal dalam agama Buddha dan sekiranya mati, dia mahu disemadikan mengikut cara Buddha.

Urusan pengebumian Nyonya, 88, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Taman Indah di Seremban, Rabu lepas mencetuskan kontroversi apabila keluarga wanita berketurunan Melayu itu mahu pengebumiannya pada Jumaat lalu mengikut istiadat Buddha.

Pada Jumaat lalu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mendapatkan perintah Mahkamah Syariah Tampin, bagi menangguhkan pengebumian Nyonya selepas mendapati wanita itu berketurunan Melayu dan meninggal dunia di Negeri Sembilan.

Mayat Nyonya kini ditempatkan di bilik mayat Hospital Tampin sementara menunggu keputusan mahkamah.