"Jutawan" Lubnan Elie Youssef Najem yang ditahan polis sejak minggu lalu dibebaskan petang ini tetapi ditahan semula dua jam kemudian.

Sebelum itu Elie dibebaskan dengan jaminan polis sebanyak RM500. Dia ditahan semula di balai polis Dang Wangi di bawah Kanun Kesiksaan bagi kesalahan jenayah mengugut.

Semasa dibebaskan, bapa mertuanya, Mohd Farid Abdullah membayar wang jaminan tersebut di cawangan jenayah komersil di Bukit Perdana, ibunegara pada kira-kira pukul 3 petang tadi. Turut hadir ialah peguamnya, M Manoharan.

Elie, 45, bagaimanapun terus dibawa ke balai polis Dang Wangi untuk diambil kenyataannya berhubung satu kes lain.

Dia ditahan pada 15 Januari lalu di kondominium Putra Villa berhubung dakwaan menipu. Tetapi dia dimasukan ke Hospital Kuala Lumpur dan dikenakan perintah tahanan reman semasa di hospital pada 18 Januari lalu.

Sebaik sahaja keluar dari hospital pada 19 Januari, mahkamah majistret memerintahkan tahanan reman Elie dilanjutkan selama lima hari lagi.

Elie meraih publisiti luas awal bulan ini apabila berjanji menderma RM1.03 billion kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) utnuk membina sebuah pusat rawatan dan penyelidikan kanser di negara ini.