PM: Kes Nyonya Tahir bukti Mahkamah Syariah adil
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata keputusan Mahkamah Syariah berhubung kes Nyonya Tahir membuktikan orang bukan Islam juga boleh mendapat keadilan di mahkamah itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata keputusan Mahkamah Syariah berhubung kes Nyonya Tahir membuktikan orang bukan Islam juga boleh mendapat keadilan di mahkamah itu.
Katanya keputusan itu juga sekaligus menepis tuduhan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah sebelum ini bahawa ia tidak adil kepada bukan Islam kerana tidak dibenarkan mendapat pembelaan di mahkamah berkenaan.
"Apa yang berlaku di Seremban, saya gembira. Ia membuktikan ada keadilan di Mahkamah Syariah... Kehadiran bukan Islam sudah terbukti boleh dan hakim itu membuat keputusan berasaskan kepada fakta.
"Itulah tandanya ada keadilan, bukannya dia nak pejam mata, tak mahu fikirkan pasal fakta langsung. Asalkan elok untuk Islam eloklah dia, tak peduli apa faktanya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) di ibunegara semalam.
Isnin lalu Mahkamah Tinggi Syariah Seremban memutuskan Nyonya Tahir, wanita Melayu tetapi didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu, bukan beragama Islam semasa kematiannya.
Menurut laporan Bernama, Hakim Mohamed Shukor Sabudin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes-kes berkaitan dengan kepentingan orang Islam termasuk masalah akidah di negara ini.
Keputusan itu, katanya, juga berdasarkan afidavit anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt dan keterangan bersama kakak Chiang, Kwang Ying di mahkamah.
Dengan itu Mohamed Shukor membenarkan mayat Nyonya yang disimpan di Hospital Tampin sejak kematiannya Jumaat lalu, diserahkan kepada keluarga wanita itu untuk disemadikan mengikut ajaran Buddha.
Artikel 121 (1A)
Dalam pada itu, Abdullah yang juga presiden Umno berkata MT menyokong keputusan beliau meminta sembilan menteri bukan Islam menarik balik memorandum mengenai cadangan untuk meminda Artikel 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan.
Anggota MT turut menyokong pendirian beliau bahawa Artikel 121 (1a) tidak perlu dipinda.
"Sambil memberi sokongan itu, mereka juga melahirkan betapa pentingnya dalam hal ini kita sentiasa memelihara perpaduan antara rakyat kerana kita menghargai hidup berbaik-baik dan hormat menghormati sesama kita.
"Kerana ini akan membawa kepada kestabilan politik dan dengan itu akan dapat membantu bagi menjayakan usaha-usaha untuk membangunkan negara kita," kata Abdullah.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Radzi Sheikh Ahmad berkata kerajaan akan mengadakan kursus untuk hakim-hakim Mahkamah Syariah bagi memastikan adanya keseragaman dalam keputusan di setiap negeri.
Ini termasuk dalam ketetapan membenarkan orang bukan Islam mendapat pembelaan serta membuat hujahan di Mahkamah Syariah.
Radzi berkata undang-undang Islam di negara ini sememangnya membenarkan orang bukan Islam mendapatkan pembelaan di Mahkamah Syariah namun tidak ramai yang menyedari hakikat itu.
Copyright 2006 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA. Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels

