Terjemahan Rombakan besar sedang dilakukan dalam akhbar Harakah, lidah rasmi parti PAS dengan perlantikan Lutfi Othman sebagai Ketua Pengarang barunya.

Perlantikan Lutfi, seorang penulis politik terkenal berkuatkuasa 1 Februari ini. Pengerusi Harakah, Datuk Mustafa Ali mengesahkan Ketua Pengarang semasa Harakah, Suhaimi Mokhtar telahpun meletakkan jawatan bulan lalu bagi membolehkan Lutfi mengambilalih jawatan tersebut.

Ini adalah rombakan ketiga dilakukan dalam akhbar dwi bulanan itu sejak kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya umum 2004.

Timbalan Ketua Pengarang Harakah, Shukor Harun juga dijangka meletakkan jawatan pada bulan depan.

Lutfi telahpun mengosongkan jawatannya sebagai Pengarang akhbar mingguan Siasah, tabloid politik yang juga mempunyai kaitan dengan Harakah. Beliau bukanlah muka baru bagi Harakah kerana pernah mengetuai akhbar tersebut pada tahun 1993.

Pemerhati melihat rombakan tersebut sebagai usaha PAS untuk meningkatkan jualan akhbar tersebut yang merosot kebelakangan ini dan memulihkan imej parti itu.

Kontrak Suhaimi dengan Harakah tamat Oktober lalu dan diperbahrui dari bulan ke bulan hingga beliau membuat keputusan meninggalkan terus akhbar tersebut akhir bulan lalu.

Mustafa menegaskan tiada apa-apa yang kontroversi dalam rombakan tersebut. Beliau menafikan tindakan itu bagi memnuhi desakan pihak-pihak tertentu terutamanya golongan veteran dan ulama yang dikatakan tidak senang dengan polisi editorial Harakah kebelakangan ini.

"Suhaimi meletakkan jawatan, jadi kami perlu mencari orang baru bagi menggantikannya. Lutfi adalah calon paling sesuai kerana beliau merupakan calon paling kanan," katanya kepada malaysiakini.

Jelasnya lagi, Lutfi dipilih kerana beliau mempunyai rekod kerja yang baik dalam mengendalikan beberapa akhbar dan majalah pro pembangkang sebelum ini.

Harakahdaily

Penyusunan semula ini dikatakan turut melibatkan versi internet Harakah, Harakahdaily. Difahamkan editornya Zulkifli Sulong akan ditukar ke bahagian pengiklanannya.

Zulkifli merupakan Ketua Pengarang Harakah sebelum pilihanraya 2004. Perlantikannya sebagai editor akhbar laman web itu dilihat oleh pihak-pihak tertentu sebagai satu penurunan pangkat.

Menurut sumber, pertukaran Zulkifli kali ini ekoran ketidakpuasan hati pihak tertentu terhadap peranan Harakahdaily dalam mengenengahkan muka-muka baru dalam muktamar PAS yang lalu.

"Jawatan Zulkifli dikatakan telah diambilalih oleh Amir Ramadhan yang sebelum ini bertanggung di bahagian teknikal laman web itu. Gaji Zulkifli yang tinggi dijadikan alasan untuk menukar beliau ke bahagian pengiklanan, tetapi kami tahu apa sebenarnya yang berlaku," kata sember itu lagi.

Menurut sumber itu surat pertukaran jawatan telahpun dihantar kepada Zulkifli.

Bagaimanapun Mustafa menolak dakwaan pertukaran jawatan Zulkifli itu dengan menegaskan "status quo" dalam Harakahdaily tidak berubah.

Beliau bagaimanapun mengesahkan terdapatnya cadangan untuk menukarkan Zulkifli ke bahagian pengiklanan.

Zulkifli pula bila dihubungi enggan mengulas perkembangan tersebut tetapi mengakui ada mendengar khabar-khabar angin mengenai cadangan pertukaran jawatannya.

"Saya ada mendengarnya tetapi tidak akan berkata apa-apa sehingga mendapat keputusan muktamad mengenainya," tegas beliau. Berita asal