T erjemahan Kampus Cawangan Universiti Nottingham kini dibayangi kontroversi berhubung cara pengurusan dan pengendalian program tersohor di dunia Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) yang menjadi kemegahan universiti tersebut.

Empat bulan selepas pembukaan rasminya, kampus yang terletak di Semenyih, kira-kira 40 minit memandu dari Kuala Lumpur, didakwa menyembunyikan perkara yang sebenarnya untuk mengelak akreditasi program MBA tersebut dibatalkan.

Difahamkan, UNMC diberi tempoh 12 bulan untuk memperbetulkan keadaan berhubung dakwaan wujudnya perbezaan dalam skim pemarkahan kertas peperiksaan yang mungkin menjejaskan gred keseluruhan pelajar MBA.

Kegagalan untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan itu, boleh menjejaskan proses pembaharuan akreditasi yang perlu dilakukan setiap lima tahun. Akreditasi ini dikeluarkan oleh Persatuan MBA (AMBA), badan global yang bertanggungjawab memastikan pengekalan kualiti program berkenaan.

Kecewa dengan sikap tidak acuh terhadap masalah dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pensyarah dan para pelajarnya, bekas tenaga pengajar di situ, Dr Geoffrey Williams telah menfailkan dua aduan kepada AMBA pada bulan Mac dan November tahun lalu.

Dokumen terbaru setebal 170 halaman, mengandungi dakwaan dan catatan rekod mesyuarat kakitangan yang diadakan tahun lalu. Malaysiakini memperolehi salinan ringkasan aduan dan surat menyurat yang berkaitan.

UNMC dalam jawapannya pagi ini, menafikan semua dakwaan tersebut, manakala AMBA belum lagi menjawab soalan yang dihantar semalam.

Keluar arahan

Williams, 36, yang meletak jawatannya kerana menjadi "mangsa" berkata, beliau terkejut dengan tindakan menyembunyikan apa yang sebenarnya berlaku. Beliau berkhidmat Universiti Nottingham pada tahun 2003.

Pada bulan Mac tahun lalu, beliau memaklumkan kepada AMBA mengenai arahan supaya dimusnahkan dokumen-dokumen dan maklumat elektronik berhubung pengurusan dan pengendalian program MBA.

Ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini, Williams berkata, beliau menerima jawapan daripada AMBA melalui emel, dengan jaminan bahawa siasatan akan dijalankan.

"Sebagai persediaan menerima kunjungn AMBA Disember (lalu), beberapa arahan dikeluarkan kepada pihak fakulti supaya memusnah dokumen-dokumen dan membuang emel mengenai pengendalian program, terutama MBA, yang boleh memalukan ketika penilaian dibuat," katanya kepada malaysiakini.

"Anggota fakulti pula diminta mencadangkan nama-nama pelajar yang menyokong jabatan tersebut untuk dicadangkan untuk ditemubual oleh pihak penilai, serta mengenalpasti mereka yang kritikal terhadap jabatan, supaya tidak ditemui para penilai.

Mengikut surat kepada para pelajar, bertarikh 29 November, Williams menjelaskan bahawa perbezaan itu berpunca daripada skim pemarkahan kertas peperiksaan yang agak longgar yang diamalkan oleh para pensyarah di UK, yang tidak disedari oleh pengajar di UNMC.

"Saya perlu menegaskan bahawa tiada ada seorang pun pensyarah yang melakukan apa-apa kesalahan. Kami menggunakan skim pemarkahan biasa, tanpa menyedari yang lainnya, terutama pensyarah di UK, menggunakan skim pemeriksaan yang lebih longgar," tambahnya.

Menurutnya, perbandingan markah bagi peperiksaan semester 1 dan semester 2 di UK dan Malaysia, telah menunjukkan perbezaan yang begitu ketara sehingga boleh menjejaskan peperiksaan akhir.

"Ini bermakna, empat daripada enam modul bagi semester 1 mungkin terjejas oleh ketidaksamaan prosedur yang telah merugikan sesetengah pelajar.

"Pelajar yang terpaksa menduduki semula peperiksaan semester 1, mungkin tidak perlu berbuat demikian, sekiranya skim pemarkahan yang lebih longgar digunakan, kerana markahnya akan mencukupi untuk lulus," jelasnya.

Minggu lalu, pihak universiti telah mengadakan majlis konvokesyen. Previu program MBA telah diadakan minggu sebelumnya.

'Tolak kebimbangan'

Williams yang mula mengajar pada 1992 di Sekolah Perniagaan London sebelum berpindah ke Universiti Oxford, bimbang perbezaan tersebut boleh mengakibatkan pelajar yang baik, gagal memperolehi keputusan cemerlang atau untuk lulus pemeriksaan.

"Ini memeranjatkan, memandangkan MBA merupakan kemegahan Sekolah Pengajian Perniagaan Universiti Nottingham yang merupakan program pengajian tersohor di dunia. Ia adalah program pengajian paling penting di universiti ini.

"Pihak pentadbiran percaya yang kualiti di UNMC tidak mencapai standardnya. Ini dinyatakan dengan jelas oleh pihak pentadbiran sekolah pengajian perniagaan tersebut apabila menolak dakwaan yang dibangkitkan oleh para pelajar," katanya.

Menurutnya, perbezaan dalam pemarkahan itu dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Peperiksaan pada 11 November, tetapi pihak universiti menganggapnya sebagai tidak berasas, tetapi sebaliknya menyalahkan prestasi pelajar.

"Perkara ini jelas membabitkan kepentingan awam, terutama sejak universiti di Malaysia menjadi sasaran kritikan sejak kebelakangan ini. Nampaknya, universiti UK di sini juga tiada bezanya," katanya.

Para pelajar juga, katanya, telah menerima nota markah mereka daripada pengarah sekolah pengajian perniagaan di UK, dan bukannya daripada pengarah sejawatannya di Malaysia.

"Dengan perangkaan yang disediakan kepada kami, beliau beranggapan tiada sebarang masalah yang wujud di sini. Oleh itu, pelajar tidak boleh merayu terhadap keputusan mereka.

"Salah satu sebab utamanya ialah Sekolah Pengajian Perniagaan akan menerima kunjungan penilai akreditasi dari AMBA minggu depan, dan mereka tidak mahu rayuan pelajar menjejaskannya. Oleh itu, mereka enggan membenarkan pelajar membuat rayuan," katanya.

Akreditasi yang dikeluarkan oleh AMBA diperbaharui setiap lima tahun dengan bayaran 20,000-30,000 paun sterling.

Kira-kira 100 pelajar mengambil pengajian MBA sepenuh masa dengan dikenakan bayaran kira-kira RM44,500 serta bayaran yang lain, setahun.

Rayuan pelajar tergendala

Dalam suratnya itu, Williams menggesa para pelajar supaya membuat rayuan terhadap keputusan mereka, dengan disokong oleh bukti yang dikumpulkannya serta pensyarah pemasaran dan strategi, Prof Madya Dr John Zinkin yang "menyediakan alasan kukuh untuk markah mereka dinilai semula".

Difahamkan, beberapa rayuan sedang menunggu untuk dikaji, tetapi proses itu terlewat oleh majlis konvokesyen.

"Mulai tarikh rayuan dikemukakan, pihak universiti mempunyai 10 hari untuk memutuskannya, tetapi dalam kes ini, tempohnya sudah melebihi sebulan tanpa sebarang keputusan dibuat," kata Williams.

Beliau juga mendakwa, Dekan Fakulti itu, Prof Eduard Bomhoff telah gagal memenuhi janjinya untuk membangkitkan perkara tersebut dengan Lembaga Peperiksaan Akhir di UK.

Dalam emel kepada pelajar bulan lalu, beliau berkata, Pengarah Sekolah Pengajian Perniagaan UK, Prof Alistair Bruce telah menolak dakwaannya berlakunya ketidaksamaan prosedur tersebut sebagai "tidak berasas" selepas dijalankan siasatan.

"Saya diberi jaminan oleh En Scott Goddard, Pengarah Program Ijazah Lanjutan dan Pengerusi Lembaga Peperiksaan di Nottingham bahawa isu yang dibangkitkan oleh Dr Williams telah diambilkira dalam perbincangan lembaga tersebut," demikian menurut salinan emel tersebut.

"Pengumuman keputusan peperiksaan tersebut menunjukkan Pemeriksa Luar bagi program ini berpuashati bahawa prosedur telah dipatuhi, isu itu telah dipertimbangkan dan keputusan mengenainya telah dibuat," tambahnya.

Difahamkan, para pegawai AMBA berada di sini bulan lalu untuk lawatan tiga hari ke kampus tersebut. Satu lagi lawatan dijadualkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Kampus UNMC adalah salah satu daripada dua kampus Universiti Nottingham yang pertama diwujudkan di luar UK. Satu lagi kampus terletak di Ningbo, China.

Kampus berharga RM120 juta itu terletak di kawasan 40 hektar dan dicanangkan mempunyai 1,300 pelajar asing dari 30 negara.

Pada 26 September lalu, Timbalan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan perasmikan kampus tersebut di Jalan Semenyih-Broga. Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo. Berita asal