Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dana RM1 bilion Bank Negara bantu B40 miliki rumah

Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan dana berjumlah RM1 bilion untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah mendapatkan pinjaman bagi membeli rumah pertama mereka.

Di bawah dana Rumah Mampu Milik BNM, rakyat Malaysia dengan pendapatan bulanan isi rumah sebanyak RM2,300 dan ke bawah layak mendapat pinjaman dengan kadar pembiayaan 3.5 peratus setahun untuk kediaman berharga RM150,000 dan ke bawah.

Lima bank yang terlibat ialah AmBank, BSN, CIMB, Maybank dan RHB.

Bercakap pada majlis pelancaran itu hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata dana yang dimasukkan dalam ucapan Bajet 2019 pada November lalu akan tersedia selama dua tahun.

"Saya harap dana yang akan diumumkan pada hari ini sebanyak RM1 bilion untuk pembeli-pembeli dapat mengurangkan masalah rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan negeri ataupun kerajaan persekutuan tetapi tak dapat dijual bukan kerana tak ada pembeli tapi kerana mereka susah untuk mendapat pinjaman

"Ini menjadi suatu masalah yang telah membelenggu semua pembeli rumah kali pertama, kerana sungguhpun senarai nama panjang tetapi rumah tetap tak boleh dijual kerana kesukaran untuk mendapat pinjaman

"Kita harap usaha ini sedikit sebanyak akan atasi masalah ini," katanya ketika berucap di Kompleks Sasana Kijang, BNM di Kuala Lumpur hari ini.

Pada sidang akhbar selepas itu, Lim berkata seramai 16 individu telah memohon dana itu sejak dilancarkan pada 2 Jan lepas dan lima permohonan diluluskan manakala selebihnya masih dalam pertimbangan.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang turut hadir pada majlis itu berkata masih terdapat rumah berharga RM150,000 dan ke bawah di bandar-bandar kecil di negara ini.

"Ia kawasan yang sedikit terkeluar dari bandar-bandar utama. Mungkin Alor Setar, bandar-bandar kecil di Penang di Seberang Perai dan tempat lain yang ketika ini memang ada rumah yang berharga sedemikian," katanya.

Modul pembelajaran atas talian

Pemohon dana itu juga diwajibkan melalui modul pembelajaran atas talian yang dijalankan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bank pusat itu sebelum mereka ayak memohon dana berkenaan.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Shamsiah Yunus berkata ia bertujuan untuk meningkatkan celik kewangan di kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

"Dana Rumah Mampu Milik dengan kadar pembiayaan yang rendah ini harus dilihat sebagai satu kemudahan sementara, untuk suatu tempoh yang terhad dan dilaksanakan secara berhemat.

"Bagi memastikan pembiayaan rumah terus mampan, kadar pembiayaan rumah perlu mencerminkan kos risiko yang sebenar dihadapi oleh institusi kewangan dengan mengambil kira kos dana, kos pentadbiran dan risiko kecairan dan kredit pinjaman," katanya.

Lihat Komen
ADS